Agihan Pendapatan ASB 7.30 Sen Seunit

Leave a Comment
Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), mengumumkan agihan pendapatan skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 7.30 sen seunit dan bonus 1.25 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009. Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, pendapatan itu tetap meningkat dan akan memastikan pembayaran dividen berterusan kepada pemegang unit ASB. “Rizab kukuh dapat membantu dana kekal teguh selain membantu meningkatkan kemampuan tabung ASB mengagihkan pendapatan berterusan pada tahun-tahun akan datang,” katanya pada sidang media sempena pengumuman agihan pendapatan ASB di Kuala Lumpur, semalam. Hamad Kama Piah berkata, melalui rizab dana, kapasitinya adalah lebih 11 sen seunit, namun PNB hanya membayar 7.30 sen seunit pada 2009 dan membawa ke hadapan baki 3.70 sen tahun depan. “Ini adalah dana jangka panjang dan kami mahu memastikan wang itu boleh digunakan untuk membeli lebih banyak saham dan membuat lebih banyak pelaburan,” katanya. Agihan pendapatan ASB membabitkan pembayaran RM4.95 bilion oleh ASNB, meningkat 19.56 peratus berbanding RM4.14 bilion pada 2008. Sementara itu, Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid pula berkata, pembayaran itu akan memanfaatkan seramai 6.78 juta pemegang unit yang kini melanggan 70 bilion unit ASB. Beliau berkata, sehingga 10 Disember, ASB memperolehi pendapatan kasar RM5.46 bilion, meningkat 3.4 peratus berbanding RM5.28 bilion pada 2008. “Pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburan pula menyumbang RM1.48 bilion atau 27 peratus daripada pendapatan kasar tersebut, manakala keuntungan daripada penjualan saham menyumbang RM3.67 bilion atau 67 peratus,” katanya. Bagi pendapatan selebihnya berjumlah RM309 juta atau enam peratus diperoleh daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek termasuk pelaburan lain. ASB adalah Tabung Ekuiti Pendapatan yang disasarkan kepada bumiputera berumur 12 tahun ke atas dan objektifnya adalah menjana pulangan jangka panjang kompetitif dan konsisten serta pengekalan modal pada tahap risiko munasabah.
-Sinar Harian
Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: