Jagung Hibrid “1Kota Marudu” Ditanam - AsRaFF RuSLaN

Jagung Hibrid “1Kota Marudu” Ditanam

Sejenis jagung hibrid, dinamakan Jagung 1Kota Marudu, yang menggunakan baja bio bagi menghasilkan buah lebih besar, manis dan rapuh serta boleh dimakan mentah, akan ditanam di Kota Marudu, daerah yang terkenal dengan tanaman jagung.

Tanaman percubaan jagung jenis “Summer Sweet” dari Taiwan dengan menggunakan teknologi baja bio keluaran syarikat Malaysia, All Cosmos Industries Sdn. Bhd., menghasilkan kejayaan dan tanaman di kawasan seluas 0.4 hektar di Pusat Latihan Pertanian Damai di sini dituai semalam.

Pada majlis penuaian jagung itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefaham antara Penolong Pengarah Jabatan Pertanian John Gumpil dan Ketua Pegawai Operasi All Cosmos Industries Lim Tau Boon bagi pemindahan teknologi.

"Kami mahu mengekalkan tanaman jagung yang dihasilkan di daerah ini supaya ia terus dikenali dengan tanaman jagung. Petani yang menggunakan benih jagung hibrid ini akan diajar cara yang betul untuk menanamnya dan mereka yang menjualnya pula diajar bagaimana hendak membakarnya,” katanya.

Dr. Ongkili akan melancarkan jenis jagung baru pada Ahad ini pada Pesta Jagung yang menjadi acara tahunan di daerah itu.

Pesta Jagung, selama dua hari, yang diadakan bermula 2002, akan diadakan di Padang Kota Marudu dengan pelbagai aktiviti termasuk Pertandingan Ratu Jagung, sukan komuniti, pertandingan memasak dan pameran pertanian serta mencatat percubaan membakar 5,000 tongkol jagung dalam masa 15 minit ke dalam Malaysia Book of Records. - Bernama
Tag : Technology
0 Komentar untuk "Jagung Hibrid “1Kota Marudu” Ditanam"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Back To Top