Perubahan Terminal Puduraya

Leave a Comment
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bangga dengan perubahan besar di Terminal Puduraya yang kini jauh lebih selesa walaupun pengubahsuaiannya hanya mengambil masa yang singkat.

Dalam lawatan mengejut keduanya ke perhentian bas itu hari ini, beliau gembira kerana kerajaan dan pihak pengurusan terminal berkenaan, UDA Holdings Bhd (UDA), telah mengambil langkah sewajarnya untuk memberi wajah baru kepada terminal itu dalam tempoh 51 hari sahaja.

"Saya percaya mereka yang menggunakan Terminal Puduraya ini akan rasa keadaan jauh lebih baik dan lebih selesa sekarang," katanya ketika meluangkan masa kira-kira 15 minit meninjau kemudahan-kemudahan yang terdapat di Terminal Puduraya di sini.

Hadir sama, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Timbalannya, Datuk M Saravanan; dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail.

Dalam lawatan pertamanya ke perhentian bas itu pada 25 April lalu, Perdana Menteri mengarahkan kemudahan sedia ada di hentian bas itu diperbaiki bagi memberi keselesaan kepada pengguna.

Najib berkata, sejumlah RM52 juta diperuntukkan untuk tujuan pengubahsuaian keseluruhan Terminal Puduraya bagi menjadikannya sebuah terminal bas moden serba lengkap, selesa serta mampu memberikan perkhidmatan yang bermutu kepada rakyat.

Beliau berkata, pengubahsuaian yang telah siap kini adalah fasa pertama yang membabitkan perbelanjaan kira-kira RM4.2 juta.

"Fasa kedua (pengubahsuaian) akan menyusul dan dalam jangka masa setahun lebih, Insya-Allah tempat ini akan berubah dengan radikal sekali," katanya yang mengakui akan melawat lokasi itu lagi selepas pengubahsuaian fasa kedua selesai.

Antara perubahan yang boleh dijangkakan ialah kawasan menunggu untuk penumpang akan diluaskan tiga kali ganda, lot kedai serta kawasan sekitar terminal diperindah dan dipermodenkan.

Mengenai projek Plaza Rakyat yang terbengkalai sejak 12 tahun lepas, Najib berkata keputusan mengenai projek berkenaan akan dibuat tidak lama lagi.

Katanya, projek itu kini di bawah Majlis Ekonomi Negara (EPU).

Projek Plaza Rakyat yang bernilai RM1.2 bilion telah diabaikan selama 12 tahun selepas beberapa kali bertukar tangan. Pemaju sekarang ialah Global Upline.

Plaza Rakyat dirancang mempunyai tiga bangunan - 79 tingkat, 49 tingkat dan 21 tingkat - untuk ruang pejabat, kondominium dan hotel murah. - Bernama

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: