Penduduk Kampung Buah Pala Akur

Leave a Comment
Setelah bekeras menghalang rumah mereka dirobohkan, penduduk Kampung Buah Pala di sini akhirnya bersetuju berbincang lebih lanjut dengan pemaju berhubung tawaran untuk berpindah bagi membolehkan kawasan itu dibangunkan.

Pengerusi Pertubuhan Penduduk Kampung Buah Pala, M. Sugumaran berkata, penduduk terpaksa akur dengan arahan mahkamah supaya mengosongkan tanah itu yang dimiliki sebuah koperasi.

“Kami kecewa dengan keadaan ini dan terpaksa menerima tawaran pemaju,” katanya kepada pemberita ketika kerja meroboh empat daripada 23 rumah di situ dijalankan hari ini.

Sugumaran berkata, penduduk di kampung itu meminta tempoh untuk berbincang lebih lanjut bagi mendaptakan penyelesaian sebelum mereka berpindah.

Keadaan di kampung itu pagi ini kecoh seketika apabila pemaju, Nusmetro Ventures (P) Sdn. Bhd., hendak memulakan kerja meroboh rumah di situ.

Pengarah Nusmetro, Gary Ho berkata, sepatutnya syarikat itu merobohkan 12 buah rumah hari ini tetapi ekoran kekecohan yang berlaku pada awalnya hanya empat rumah dapat dirobohkan.

Penduduk dan beberapa pihak luar bertindak membuat benteng manusia bagi menghalang pemaju untuk melakukan kerja meroboh rumah.

Dalam keadaan kelam kabut itu, Ho turut dipukul sehingga menyebabkan lebam di lutut dan cedera di bahagian badan lain.

“Saya akan pergi mendapatkan rawatan dan membuat laporan polis berhubung kejadian ini,” katanya.

Lebih 100 pegawai dan anggota polis terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) dan juga Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berkumpul di kawasan kampung itu seawal 7 pagi selain turut menempatkan sebuah balai polis bergerak.

- BERNAMA

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: