Mangsa Ketujuh H1N1

Leave a Comment
Seorang ibu yang baru bersalin dua minggu lepas di Sarawak menjadi korban ketujuh influenza A (H1N1).

Mangsa terbaru berusia 23 tahun itu yang meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Miri pukul 4.00 pagi ini selepas mengidap pneumonia yang teruk, merupakan kes kematian pertama di negeri itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, pesakit itu telah bersalin di hospital yang sama pada 21 Julai lepas.

“Selepas bersalin, beliau didapati mengidap pneumonia yang teruk dan disahkan menghidap jangkitan influenza A (H1N1) pada 23 Julai lepas. “Simptom utama beliau adalah demam dan batuk yang telah bermula empat hari sebelum bersalin. Bayi pesakit didapati selamat dan disahkan bebas daripada jangkitan influenza A (HINI),” kata beliau.

Sejumlah 17 kes baru turut dilaporkan hari ini, kesemuanya kes tempatan dan melibatkan warga Malaysia, menjadikan kes terkumpul sehingga 8 pagi ini sebanyak 1,446 kes dengan 97 peratus telah sembuh.

Hanya 29 kes yang menerima rawatan antiviral di hospital manakala sembilan lagi menerima rawatan di rumah. - Bernama

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: