Hormati Perlembagaan Persekutuan

Leave a Comment
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata seluruh rakyat hendaklah menerima dan menghormati Perlembagaan Persekutuan secara menyeluruh bagi merealisasikan gagasan 1Malaysia.

“Kita mestilah menerima dan menghormati Perlembagaan secara menyeluruh termasuk semua fasal, peruntukan dalam Perlembagaan termasuk Artikel 153 mengenai kedudukan istimewa orang Melayu serta Bahagian 3 iaitu mengenai kewarganegaraan.

“Itu semua penting dan kita mesti ada satu pandangan yang holistik dan seimbang di mana penggubal Perlembagaan dan pengasas negara telah meletakkan satu asas kukuh yang mengambil kira fakta sejarah, politik dan ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas berucap pada persidangan Tahunan Pemimpin-Pemimpin Pelajar Malaysia kali ketiga di sini hari ini.

Koh, yang juga Presiden Gerakan, berkata negara kini berhadapan dengan cabaran getir dan semangat daripada perlembagaan ini perlulah diambil bagi menyatupadukan rakyat berbilang kaum.

“Apa yang mencabar sekarang ialah bagaimana kita dapat menggunakan dan memperkasakan semangat ini (perlembagaan) untuk menyatupadukan rakyat Malaysia mengikut gagasan 1Malaysia. Perbezaan atau kepelbagaian (kaum) dianggap sebagai sesuatu yang tidak menghalang perpaduan,” katanya. - Bernama

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: