H1N1 Serang Paru-Paru

Leave a Comment
Doktor di seluruh dunia melaporkan kes-kes selesema babi dalam bentuk teruk yang terus menyerang paru-paru, menyebabkan pesakit yang biasanya golongan muda mengalami kegagalan sistem pernafasan yang serius sehingga memerlukan rawatan rapi berpanjangan di hospital.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporan terkininya semalam mengenai pandemik itu berkata, beberapa negara melaporkan sehingga 15 peratus pesakit yang dimasukkan ke hospital kerana dijangkiti virus influenza A (H1N1) memerlukan rawatan rapi.

Masalah itu menimbulkan lagi bebanan ke atas sistem penjagaan kesihatan yang sudah pun tertekan, menurut WHO.

"Langkah-langkah persiapan perlu diambil bagi menghadapi kemungkinan meningkatnya permintaan terhadap unit penjagaan rapi yang dijangka tidak dapat menampung lonjakan tiba-tiba dalam bilangan kes teruk," ujar WHO.

Bentuk selesema yang teruk seperti selesema babi itu jarang dilihat dalam kes jangkitan selesema bermusim.

"Di kalangan pesakit HIN1, virus itu terus menyerang paru-paru, menyebabkan kegagalan pernafasan yang teruk. Menyelamatkan nyawa mangsa memerlukan rawatan sangat khusus dalam unit rawatan rapi, selalunya bagi tempoh lama dan melibatkan kos tinggi," kata WHO. - Reuters
Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: