Kadar Tambang Baru Mulai 1 Ogos

Leave a Comment
Kerajaan hari ini mengumumkan kadar tambang baru bagi pengangkutan awam di seluruh negara yang menyaksikan kenaikan untuk kesemua jenis kategori perkhidmatan.

Kadar baru bagi semua kelas lesen merangkumi bas ekspres, bas berhenti-henti, bas mini, bas pengantara, bas sekolah, teksi, teksi lapangan terbang dan kereta sewa itu bakal berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Kali terakhir tambang pengangkutan awam disemak ialah pada Mei 2005, manakala bagi bas sekolah pula pada April 2006.

Kadar tambang baru yang diumumkan itu merupakan had kadar maksimum (siling) dan pengusaha pengangkutan awam dibenar untuk mengenakan tambang lebih rendah daripada kadar tambang yang ditetapkan.

Bagaimanapun, tambang bas ekspres dan bas berhenti-henti yang mengalami kenaikan kira-kira 30 peratus boleh dirasionalisasikan dengan kadar tambang tambahan semasa (surcaj).

Oleh itu, ia bukan merupakan kenaikan baru apabila berkuat kuasa 1 Ogos ini kerana surcaj itu dimansuhkan dengan pengenalan tambang baru itu.

Ketika mengumumkan kadar tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, bagi Semenanjung, struktur baru itu akan menyaksikan tambang bas ekspres dinaikkan sebanyak dua sen bagi setiap kilometer.

Katanya, pada masa ini, kadar tambang bas ekspres yang dikenakan ialah 6.5 sen untuk setiap kilometer dan apabila berkuat kuasa 1 Ogos kelak, tambangnya akan menjadi 8.5 sen setiap kilometer.

Menurutnya, untuk bas sekolah kategori bandar, ia mengalami kenaikan sebanyak RM6.33 bagi bayaran bulanan, manakala untuk setiap kilometer berikutnya ia dinaikkan sebanyak 47 sen.

''Bagi bas sekolah kategori luar bandar, kenaikan yang diluluskan ialah sebanyak RM4.76 bagi bayaran bulanan diikuti dengan kenaikan sebanyak 47 sen bagi setiap kilometer.

''Untuk kategori bas sekolah luar bandar, bayaran bulanan yang dikenakan ialah sebanyak RM15.85 bagi setiap kilometer pertama dan RM1.55 bagi kilometer berikutnya,'' jelasnya.

Mohamed Nazri mengumumkan demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian Surat Tawaran Kelulusan Fasa 3 kepada 831 pemandu teksi Lembah Klang di sini hari ini.

Sementara itu, beliau menambah, bagi bas berhenti-henti di Kuala Lumpur, kenaikan dibuat mengikut zon yang akan menyaksikan kenaikan antara 25 sen sehingga 70 sen bagi setiap kilometer.

Katanya, untuk bas berhenti-henti berhawa dingin selain dari Kuala Lumpur pula, kenaikan yang diluluskan adalah sebanyak 22 sen bagi setiap dua kilometer diikuti kenaikan 2.2 sen bagi setiap kilometer berikutnya.

''Untuk yang tanpa berhawa dingin, tambangnya dinaikkan sebanyak 14 sen bagi dua kilometer pertama diikuti 2.2 sen bagi setiap kilometer berikutnya.

''Bagi bas mini, kadar tambangnya dinaikkan sebanyak 20 sen bagi satu arah perjalanan,'' ujarnya.

Bas pengantara turut mendapat kenaikan tambang sebanyak 10 sen untuk setiap pusingan perjalanan.

Untuk teksi di Lembah Klang, Johor Bahru, Kuala Terengganu dan Melaka pula dinaikkan dari RM2 untuk satu kilometer pertama kepada RM3, manakala dari segi jarak, kenaikan yang diluluskan ialah 10 sen untuk setiap 115 meter berbanding 10 sen untuk 150 meter sekarang.

Menurutnya, selain itu, bayaran bagi penumpang lebih dua orang dan bagasi yang diletakkan di but turut dimansuhkan manakala pemandu teksi dibenarkan mengenakan surcaj tengah malam bagi perjalanan yang melewati pukul 12 tengah malam.

Katanya, bagi teksi di Pulau Pinang pula, kadar kenaikannya adalah sebanyak RM1 untuk satu kilometer pertama dan 20 sen untuk satu kilometer berikutnya.

''Sementara itu, harga mengikut masa pula dinaikkan sebanyak 15 sen untuk setiap minit atau 10 sen untuk 21 saat berikutnya.

''Struktur baru ini turut menyaksikan kenaikan mengikut masa iaitu sebanyak RM1 untuk satu minit pertama menjadi kepada RM3 seminit diikuti 10 sen untuk setiap 21 saat berikutnya,'' tambahnya.

Mohamed Nazri berkata, bagi kereta sewa tanpa hawa dingin, kadar barunya menyaksikan kenaikan sebanyak 10.1 sen untuk setiap kilometer menjadikan 21.6 sen selain caj tambahan 50 sen bagi setiap penumpang.

Kata beliau, sementara itu, bagi kereta sewa yang berhawa dingin, kadar baru yang diumumkan menyaksikan kenaikan sebanyak 11.7 sen menjadi 25 sen setiap kilometer selain 50 sen caj tambahan bagi setiap penumpang.

''Bagi teksi lapangan terbang untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LKLIA) Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), kadar tambang yang dikenakan antara keduanya diseragamkan dengan kadar minimum ialah sebanyak RM3.20,'' jelasnya.

Sumber : Utusan Malaysia

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: