Hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton Dibom

Leave a Comment
Dua letupan bom hampir serentak menggegarkan Hotel-Hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton yang terletak di kawasan perniagaan utama Jakarta hari ini, menyebabkan sembilan orang maut dan sekurang-kurangnya 41 yang lain cedera dalam serangan yang dilakukan pengebom berani mati.

Serangan bom di daerah perniagaan Mega Kuningan itu dipercayai dilancarkan secara bersepadu dan adalah yang pertama dalam tempoh beberapa tahun sejak kerajaan mencapai kemajuan dalam menangani ancaman keselamatan daripada puak-puak militan seperti Jemaah Islamiah (JI).

Jurucakap polis Indonesia, Nanan Soekarna mengesahkan 18 yang cedera adalah rakyat asing.

Letupan pertama berlaku di tingkat bawah tanah JW Marriott, manakala letupan kedua di restoran Ritz-Carlton. Sebutir bom yang tidak meletup ditemui kemudian di dalam sebuah bilik di tingkat 18 JW Marriott dan dimatikan oleh polis.

“Saya fikir serangan itu merosakkan imej selamat yang dipupuk dengan susah payah oleh Indonesia sejak empat tahun lalu,” kata penganalisis risiko politik di Jakarta, Kevin O’Rourke.

Beliau berpendapat, serangan itu memberi tamparan hebat kepada keyakinan pelabur kerana ia berlaku sekalipun kerajaan telah menjalankan usaha gigih untuk memerangi keganasan.

Presiden yang juga pengarah syarikat pengeluar simen PT Holcim Indonesia, Timothy David Mackay, 62, seorang rakyat New Zealand, adalah antara mangsa yang terkorban dalam letupan di JW Marriott itu, kata syarikat tersebut.

Rakyat asing yang cedera adalah dari Australia, Kanada, Hong Kong, India, Itali, Belanda, Norway, Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan Britain.

Sumber : Utusan Malaysia

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: