H1N1: Rakyat Malaysia Dinasihat Tangguh Lawatan ke Negara Terjejas

Leave a Comment
Rakyat Malaysia yang ingin melawat negara yang terjejas akibat wabak Influenza A (H1N1) dinasihat menangguhkan sementara hasrat mereka untuk ke negara terbabit.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata tindakan itu sebagai langkah pencegahan dalam usaha kerajaan mengelak wabak itu daripada terus menjangkiti rakyat negara ini.

“Mereka yang ingin melawat ke negara yang terbabit dengan wabak H1N1 hendaklah menangguhkan hasrat itu jika tidak perlu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kem Kesihatan Perdana Kuala Krai 2009 di Sekolah Kebangsaan Manik Urai Lama, di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu, kerajaan turut memberi garis panduan khusus kepada rakyat Malaysia di luar negara, termasuk pelajar supaya menjaga kebersihan dalam mengawal penularan penyakit itu.

Ketika berucap, Rosnah berkata kementeriannya akan mengubah pendekatan dalam memajukan masyarakat warga emas daripada konsep kebajikan kepada pembangunan bagi memastikan mereka terus aktif dan produktif.

Perubahan pendekatan ini termasuk menggalakkan gaya hidup sihat, bersenam, menangani tekanan dengan bijak dan tidak merokok, katanya. - Bernama

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: