Cuti 100,000 Kakitangan Kesihatan Dibeku

Leave a Comment
Berkuat kuasa serta-merta, Kementerian Kesihatan membekukan cuti kira-kira 100,000 kakitangan kesihatan awamnya yang terlibat secara langsung dalam proses pencegahan penularan selesema babi atau influenza A (H1N1).

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, arahan itu antara lain membabitkan kakitangan makmal, jururawat di hospital, lapangan terbang dan yang menjalankan pemeriksaan kuarantin di rumah.

‘‘Langkah ini bertujuan meningkatkan jumlah kakitangan agar dapat menyertai dan menangani wabak HINI kerana ia semakin merebak.

‘‘Banyak aktiviti perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap wabak ini dan ia perlu dilaksanakan oleh semua penjawat awam Kementerian Kesihatan.

‘‘Mereka dikerah membantu memastikan perjalanan aktiviti menangani wabak H1N1 ini dilaksanakan secara sempurna,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementeriannya di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut meminta majikan memberikan cuti tanpa rekod kepada pekerja atau kakitangan mereka yang sakit dikhuatiri menghidapi H1N1.

Menurutnya, kelonggaran itu bertujuan menjaga keselamatan masyarakat memandangkan wabak tersebut semakin menular di sekitar Lembah Kelang.

Tiong Lai berkata, beliau akan melaporkan isu tersebut ke mesyuarat Jemaah Menteri esok sama ada perkara itu boleh dijadikan sebagai satu arahan kepada majikan.

Sumber : Utusan Malaysia

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: