Web Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama & Kedua (Bajet Mini)

Leave a Comment
Rakyat Malaysia kini boleh mengetahui perkembangan dua pakej rangsangan ekonomi secara dalam talian apabila Kementerian Kewangan melancarkan laman webnya yang terbaru.

Ia sekaligus menolak dakwaan segelintir pihak yang sangsi dan keliru mengenai ketelusan agihan serta saluran bagi pakej rangsangan pertama RM7 bilion dan pakej rangsangan kedua sejumlah RM60 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohamad Othman Zainal Azim berkata, diharapkan semua lapisan masyarakat boleh melayari laman web tersebut untuk mendapatkan maklumat lebih jelas mengenai kedua-dua pakej rangsangan.

“Pendekatan itu menekankan kefahaman rakyat tentang setiap peruntukan diagihkan dan apakah program atau inisiatif yang dilaksanakan. Laman web ini merupakan sistem yang telus dan menyediakan peruntukan oleh kementerian serta butiran lanjut mengenai saluran ke setiap negeri,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran di Putrajaya, semalam.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Rakyat Malaysia akan tahu dan boleh mengikuti pelaksanaan pelbagai inisiatif. Katanya dalam mesej ringkas di laman web, ia juga membabitkan program yang dibentuk bagi menangani isu ekonomi ekoran kelembapan kewangan global.

Setakat ini, sejumlah RM5.99 bilion telah diagihkan dan 23,543 projek bernilai RM1.75 bilion sudah disediakan untuk pelaksanaan. Dalam pada itu, semua 38,000 projek di bawah pakej rangsangan pertama dijangka dilaksanakan menjelang akhir bulan ini, manakala projek sejumlah RM1.39 bilion telah diberikan untuk pakej rangsangan kedua.

Laman web khas dilancarkan bertujuan untuk memantau bagaimana dana dibelanjakan di samping memberi kesedaran kepada rakyat tentang program, projek dan kemajuan menerusi dua pakej rangsangan. Mohamad Othman berkata, ia akan dikemaskini pada setiap minggu dan sebarang pertanyaan daripada orang awam akan dijawab oleh Unit Pengurusan Projek (PMU).

“Ia turut menawarkan peruntukan berdasarkan kepada teras yang strategik dan inisiatif serta saluran untuk mendapatkan maklum balas daripada orang awam,” katanya.

Pakej rangsangan pertama RM7 bilion diumumkan pada 4 November 2008 dan pakej rangsangan kedua atau Bajet Mini dibentangkan di Parlimen pada 10 Mac 2009.

Sumber : Sinar Harian

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: