Waspada Wabak Baru

Pengawasan di semua pintu masuk negara akan diperketatkan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularan sejenis wabak baru dikenali sebagai selesema babi yang telah meragut 68 nyawa di Mexico dan mencetuskan suasana cemas di negara itu.

Pengawasan itu membabitkan pemeriksaan kesihatan terhadap orang ramai antaranya mereka yang menunjukkan tanda-tanda demam panas.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, wabak berkenaan amat berbahaya kerana ia tersebar melalui manusia bukannya haiwan seperti selesema burung atau ‘avian flu’ yang pernah melanda negara ini.

Beliau bagaimanapun meminta rakyat negara ini supaya tidak panik kerana kerajaan sentiasa berwaspada terhadap apa jua wabak yang boleh menyebabkan kematian.

“Selesema babi telah merebak di Mexico dan pengawasan di semua pintu masuk negara ini perlu diperketatkan segera.

“Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan sentiasa memantau penyakit berjangkit, kita sentiasa mendahului situasi,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai wabak selesema babi yang berpunca daripada virus yang tidak pernah dilihat para penyelidik sebelum ini kerana ia mengandungi kombinasi virus babi, burung dan manusia.

Dalam perkembangan berkaitan, Tiong Lai berkata, beliau belum menerima laporan terkini wabak tersebut daripada Bahagian Kawalan Penyakit dan hanya mengetahuinya melalui laporan media pagi ini.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk melaporkan perkembangan terkini mengenai wabak berbahaya itu kepada masyarakat.

Sumber : Utusan Malaysia

Tag : Medic
0 Komentar untuk "Waspada Wabak Baru"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Back To Top