RazakSAT Dilancarkan ke Orbit 21 April

Leave a Comment
Satelit remote sensing kedua negara RazakSAT yang akan mengelilingi orbit garisan Khatulistiwa dijangka akan dilancarkan mengikut jadual pada 21 April ini jam 6 pagi waktu Malaysia, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Fadillah Yusof di sini.

Fadillah berkata RazakSAT yang dianggarkan bernilai RM150 juta untuk keseluruhan kos pembangunan akan dilancar menggunakan jet pelancar Falcon 1 dari tapak pelancaran Omelek Island, Kwajalein dengan kawalan misi di SpaceX HQ di Los Angeles.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyaksikan pelancaran RazakSAT dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada pagi 21 April ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pengenalan Astronomi dan Sains Angkasa 2009 di Pusat Maklumat Islam di sini.

Beliau berkata hasil kejuruteraan dan sains tempatan RazakSAT mampu memberikan imej yang berguna untuk pembangunan guna tanah, pemantauan hutan dan alam sekitar, pemantauan bencana seperti banjir, dan pemetaan yang turut memberi faedah kepada negara lain yang berminat menggunakan perkhidmatan RazakSAT. — Bernama

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: