Rajagobal Kemudi Skuad Kebangsaan Malaysia

Leave a Comment
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan pengendali skuad bawah 23, K. Rajagobal sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, semalam pelantikan yang disifatkan sebagai kenaikan pangkat setelah sekian lama membimbing skuad remaja.

Rajagobal akan diberikan kontrak dua tahun dan pilihan satu tahun untuk jawatan tersebut.

Ini bermakna, Rajagobal, yang menggantikan B. Sathianathan akan menjalankan tugas 'dua dalam satu' setelah beliau juga dinamakan sebagai jurulatih skuad bawah 23, baru-baru ini.

Pengumuman itu sekali gus menamatkan teka teki mengenai calon lain yang dikaitkan dengan jawatan tersebut sebelum ini termasuk Mohd. Azraai Khor Abdullah (Kedah), K. Devan (Selangor) dan Dollah Salleh (Shahzan Muda).

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Redzuan Sheikh Ahmad berkata, pelantikan Rajagobal mendapat restu Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah dan jurulatih itu sendiri bersetuju menerima tanggungjawab tersebut.

Menurut Redzuan, pemilihan tersebut dibuat berdasarkan rekod cemerlang Rajagobal yang pernah melatih skuad remaja kebangsaan, juga skuad Harimau Muda yang kini beraksi dalam Liga Perdana.

''Rajagobal merupakan pilihan terbaik selepas beberapa calon lain tidak dapat menerima tugasan ini kerana tidak mendapat restu majikan masing-masing,'' katanya pada sidang akhbar khas di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Hadir sama pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Gulzar Mohamad dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.

Rajagobal akan dibantu oleh Tan Cheng Hoe sebagai penolong jurulatih, seorang jurulatih penjaga gol Mohd. Faozi Mukhlas dan seorang jurulatih kecergasan.

Mengenai kedudukan Rajagobal sebagai pengendali Harimau Muda, Redzuan berkata, tugasan tersebut akan diambil alih oleh Ong Kim Swee.

Belum pun memulakan tugas secara rasmi, FAM telah menetapkan beberapa tugasan penting buat Rajagobal bersama skuad senior dan bawah 23.

Katanya, kemampuan Rajagobal membentuk skuad senior akan diuji pada perlawanan persahabatan dengan kelab gergasi bola sepak England, Manchester United pada 18 Julai ini, disusuli perlawanan persahabatan antarabangsa, Pestabola Merdeka (Ogos) dan kelayakan Piala Asia menentang Uzbekistan (November).

''Dalam masa yang sama Rajagobal juga akan mengendalikan skuad Bawah 23 untuk Kejohanan Antara Benua (Jun) dan Sukan SEA di Laos (Disember),'' katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: