Pusat Sumber Islam RM300 juta di i-City

Leave a Comment
Pusat Sumber Islam yang akan dibangunkan bagi mewujudkan sektor Kewangan Islam di i-City, milik I-Berhad dijangka menelan kos pembangunan kasar sebanyak RM300 juta.

Pengarah Eksekutifnya, Monica Ong berkata, kerja-kerja pembangunannya di Shah Alam, Selangor akan dimulakan tahun depan dan dijadualkan siap dalam tempoh empat tahun lagi.

Pusat itu akan menyediakan kemudahan operasi kepada pelbagai institusi Islam yang bertapak di i-City,'' katanya ketika ditemui di Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2009.

Sektor kewangan Islam membabitkan pembinaan tiga buah menara pejabat dengan keluasan satu juta kaki persegi yang mana Kumpulan Perbankan Al-Rajhi membeli 80 peratus daripada pembangunan fasa pertama terdiri daripada pejabat siber gred A.

Baki daripada fasa pertama itu akan dijadikan pejabat operasi I-Berhad, jelas Ong.

Beliau berkata, syarikat itu sedang memberikan tumpuan kepada pembangunan keselesaan komuniti di i-City selaras peranannya sebagai bandar pintar bertaraf dunia.

''Kami sedang menarik penglibatan pelbagai masyarakat peniaga yang berupaya menawarkan kepelbagaian perniagaan termasuk makanan antarabangsa dan hiburan bagi melengkapkan gaya hidup kosmopolitan masyarakat asing di i-City nanti,'' katanya.

Ong berkata, nilai-nilai tambah di i-City menjadi elemen penting kerana ia bukan sahaja menjadi lokasi pelaburan semata-mata untuk masyarakat perniagaan antarabangsa tetapi turut berfungsi sebagai pusat gaya hidup kosmopolitan untuk rakyat Malaysia.

Sumber : Utusan Malaysia

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: