Najib tinjau Puduraya, Jalan Tuanku Abdul Rahman

Tiga minggu selepas Datuk Seri Najib Tun Razak turun padang untuk melawat tiga kawasan di tengah-tengah bandar raya, Perdana Menteri hari ini melakukan satu lagi kejutan berjalan kaki di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Hentian Puduraya yang sentiasa sesak dengan lalu-lintas.

Beliau kurang senang dengan kesesakan itu dan ketidakcekapan kemudahan awam semasa melakukan tinjauan selama sejam, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Najib, yang berpakaian kasual berkemeja warna perang dan seluar berwarna kuning air, tiba di Jalan Tuanku Abdul Rahman dekat Semua House pada 3.20 petang, diiringi oleh Raja Nong Chik, timbalannya, Datuk M. Saravanan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail.

Di Jalan TAR, yang terkenal dengan kedai-kedai tekstil dan barang kemas, Najib diberi taklimat oleh Ahmad Fuad mengenai cadangan tempat meletak kenderaan bertingkat berhampiran Semua House dan beberapa rancangan menaik taraf lain di situ.

Beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit berjalan di sepanjang lorong berkenaan sambil berhenti berbual dengan peniaga dan orang ramai.

Perdana Menteri kemudiannya menaiki perkhidmatan LRT yang penuh sesak ketika itu. Beliau terpaksa berdiri dari stesen Masjid Jamek ke stesen Plaza Rakyat sebelum berjalan kaki ke Hentian Bas Puduraya yang juga sesak.

Najib turut berhenti di salah sebuah gerai di bangunan itu bagi mendapatkan minuman sejuk.

Beliau yang diiringi pegawainya, menarik perhatian orang ramai yang mengambil peluang untuk bergambar dengan Perdana Menteri.

Seorang wanita yang ternampak kelibat Najib lantas memboloskan diri di tengah-tengah kumpulan orang ramai sambil berteriak: “Saya mahu ambil gambar Perdana Menteri saya”.

Najib kemudian bergerak untuk memeriksa bangunan projek Plaza Rakyat yang lama terbengkalai di sebelah Puduraya sebelum berlepas balik pada 4.25 petang.

Raja Nong Chik berkata, Perdana Menteri menyatakan pandangan berat tentang kurangnya fasiliti dan kesesakan di tempat-tempat tertentu dan mahukan penambahbaikan dilakukan segera.

“Beliau mengalami sendiri, dengan berjalan kaki dan menaiki LRT bersama orang ramai, apa yang mereka terpaksa lalui setiap hari, seperti kesesakan dan pelbagai kesulitan lain, di kawasan sesak.

“Beliau berkata masalah seumpama itu bukan petanda baik buat negara kita yang berusaha menjadi negara maju menjelang 2020.

“Beliau telah mengarahkan Kementerian Wilayah Persekutuan dan kementerian lain yang berkaitan menentukan kemudahan berkenaan dipertingkatkan demi faedah orang ramai,” katanya.

Mengenai projek Plaza Rakyat, Raja Nong Chik berkata, Najib mahu pemaju diberi kata dua untuk menyiapkannya.

“Perdana Menteri mahukan kami memberikan had masa kepada pemaju menyiapkan projek itu. Jika mereka tidak dapat mematuhinya, kami akan tamatkan kontrak dan cari jalan lain,’’ ujarnya.

“Beliau mahukan projek itu dijalankan semula secepat mungkin,” kata Raja Nong Chik.

Projek, yang pada mulanya menelan kos RM1.2 bilion itu telah diabaikan selama 12 tahun selepas ia bertukar tangan beberapa kali. Pemaju sekarang ialah Global Upline.

Plaza Rakyat dirancang mempunyai tiga bangunan - 79 tingkat, 49 tingkat dan 21 tingkat untuk ruang pejabat, kondominium dan sebuah hotel murah.

Mengenai rancangan menaik taraf kemudahan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi mengurangkan kesesakan di Jalan TAR, Ahmad Fuad berkata, projek itu ialah tempat letak kereta bertingkat yang sudahpun bermula.

“Ia bangunan 13 tingkat dan dianggarkan menelan kos RM50 juta. Ia akan menempatkan tempat letak kereta bertingkat, pusat penjaja dan peniaga, dewan pelbagai guna dan ruang pejabat,” jelasnya.

– BERNAMA

Tag : Public
0 Komentar untuk "Najib tinjau Puduraya, Jalan Tuanku Abdul Rahman"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Back To Top