Minggu Tidak Tonton TV

Leave a Comment
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) hari ini melancarkan kempen minggu tidak menonton televisyen bagi menggalakkan ibu bapa dan anak-anak meluangkan masa bersama.

Ketua Eksekutifnya, Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, kempen selama seminggu itu bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat supaya menjalankan aktiviti yang lebih bermanfaat bersama keluarga.

"Kita bukan mahu menyekat masyarakat daripada memperoleh maklumat. Tetapi kita mahu mereka menghiasi masa dengan aktiviti yang lebih berfaedah seperti berkelah, bersenam, bersiar-siar bersama-sama keluarga.

"Selain merapatkan hubungan keluarga, mereka juga mengamalkan gaya hidup sihat," katanya pada sidang akhbar kempen Minggu Tidak Menonton Televisyen di sini hari ini.

Menurut beliau, kempen tersebut merupakan pertama kali diadakan di negara ini.

"Di negara luar, mereka telah lama mengadakan kempen sebegini sejak tahun 1995 lagi. Insya-Allah kita akan adakan kempen ini untuk tempoh empat tahun," katanya.

Mohd. Yusof memberitahu, kempen tersebut juga akan membantu masyarakat supaya bersikap lebih berhemah.

"Apabila mereka kurang menonton televisyen ini secara tidak langsung mengurangkan belanja mereka. Sudah tentu bil elektrik mereka juga akan menurun dan ini memberi kesan yang baik dalam masyarakat," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Yusof berkata, beberapa lagi siri kempen akan diperkenalkan sepanjang tahun ini bagi memberi kesedaran kepada masyarakat.

"Selepas ini kita akan perkenalkan kempen berkongsi kereta, mengurangkan penggunaan kad kredit dan sebagainya," katanya.

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: