Lebih 90 Maut Gempa Bumi di Itali


Satu gempa bumi kuat menggegarkan tengah Itali ketika penduduk sedang tidur pagi semalam menyebabkan lebih 90 orang maut manakala 50,000 lagi hilang tempat tinggal.

Gempa dengan kekuatan antara 5.8 dan 6.3 pada skala Richter itu berlaku sejurus selepas pukul 3.30 pagi waktu tempatan.

Kebanyakan kematian berlaku di bandar di sini yang terletak 100 kilometer ke timur ibu kota Itali, Rom selain beberapa bandar dan kampung sekitarnya di wilayah Abruzzo.

Deretan rumah, sejumlah gereja dan bangunan lain ranap dalam gempa bumi yang disifatkan paling buruk melanda Itali sejak hampir 30 tahun lalu.

"Saya tersedar dan mendengar bunyi kuat seperti bom," kata seorang wanita, Angela Palumbo, 87.

Jurucakap Jabatan Pertahanan Awam, Luca Spoletini berkata, kira-kira 36 bandar dan pekan rosak teruk akibat bencana tersebut.

Menurutnya, ramai penduduk memilih untuk berada di kawasan lapang termasuk di dalam kereta kerana bimbang lebih banyak bangunan akan runtuh.

Bongkah-bongkah batu gunung turut menghalang beberapa jalan raya di kawasan pergunungan itu.

Di pekan Onna sahaja, 10 orang maut manakala seorang petugas media melaporkan dia melihat mayat seorang ibu dan anak perempuannya yang kecil diusung dalam satu keranda.

Suara meminta tolong seorang wanita sayup kedengaran dari dalam timbunan runtuhan bangunan di sini ketika petugas-petugas penyelamat giat mencari dan mengeluarkan mangsa.

Bencana dahsyat itu turut memaksa Perdana Menteri, Silvio Berlusconi membatalkan lawatan ke Moscow.

Beliau mengisytiharkan status bencana kebangsaan ke atas negara itu sekali gus membolehkan dana disalurkan untuk tujuan bantuan dan membina semula kawasan yang musnah. - Agensi

Sumber : Kosmo

Tag : Tragedy
0 Komentar untuk "Lebih 90 Maut Gempa Bumi di Itali"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Back To Top