Kad Debit Semakin Diminati

Malaysia menunjukkan perkembangan positif dalam penggunaan kad debit sekali gus memberikan petanda bahawa kaedah pembayaran itu dilihat lebih selamat dan memudahkan transaksi pembayaran.

Pengurus Negara Malaysia Visa, Stuart Tomlinson berkata, dalam keadaan ekonomi yang mencabar, orang ramai menjadi lebih berhati-hati untuk berbelanja dan kad debit memberikan mereka peluang itu.

''Penggunaan kad debit memberikan peluang kepada pengguna untuk menyemak transaksi dan sekali gus mengawal perbelanjaan kerana ia menggunakan konsep guna sekarang, bayar sekarang,'' katanya selepas pelancaran Visa Access di sini hari ini.

Selain itu, di Malaysia, antara produk kad debit syarikat itu yang menjadi pilihan ialah Visa Debit dan Visa Platinum, tambahnya.

Menurut laman web Visa, bagi tempoh tiga bulan berakhir 30 September 2008, terdapat 480 juta kad kredit dan kad debit Visa dikeluarkan di rantau Asia Pasifik.

Terdahulu, sewaktu melancarkan Visa Access, Tomlinson berkata, pemegang kad Visa Platinum dan Visa Infinite akan menikmati kelebihan dan keistimewaan yang selama ini hanya dinikmati oleh ahli-ahli kelab terkemuka dunia.

Antaranya, pemegang kad-kad tersebut diberikan peluang untuk menggunakan kemudahan di 11 kelab sosial dan kesihatan yang biasanya dibuka untuk ahli sahaja, kemudahan bermain golf di 500 kelab golf terkemuka di seluruh dunia termasuk bermain secara percuma di kelab golf di China, Singapura dan Thailand. Mereka juga berpeluang, menjamu selera di 23 buah restoran terkemuka di enam negara serta khidmat membeli belah peribadi menerusi concierge Visa.

Ujarnya, Visa Access merupakan salah satu komitmen syarikat itu untuk memenuhi keperluan pemegang kad menerusi perkhidmatan yang lebih bercorak peribadi di rantau Asia Pasifik di samping menikmati cara hidup yang mewah dan berprestij.

Tag : Economy
0 Komentar untuk "Kad Debit Semakin Diminati"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Back To Top