Fungsi MeCD Diserap

Agenda membela bumiputera yang sebelum ini diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) yang dimansuhkan, tetap diteruskan apabila kerajaan bersetuju menyerapkan fungsi dan agensi-agensinya ke lapan buah kementerian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan hari ini berkata, persetujuan mengenainya akan terus memastikan peranan-peranan utama MECD terutama bagi melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera.

Pada masa sama, kata beliau, ia akan memperluas dan mempercepatkan penglibatan bumiputera dalam arus ekonomi negara, membangunkan kawasan pertumbuhan baru dan memperkasakan koperasi yang terus diberi penekanan kerajaan.

Berikut fungsi-fungsi dan agensi-agensi MECD yang diserapkan:

- Pembangunan dan Penggalakan Sistem Francais dan Pembangunan Skim Vendor dipindahkan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

- Pembangunan Masyarakat Perindustrian Perdagangan Bumiputera, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Bank SME ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

- Pembangunan Koperasi Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Maktab Kerjasama Malaysia ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

- Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) ke Jabatan Perdana Menteri.

- Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) ke Kementerian Kerja Raya.

- Perbadanan-Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan Bank Rakyat ke Kementerian Kewangan.

- Majlis Amanah Rakyat (Mara) ke Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

- Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Malaysia Japan University (MAJU) ke Kementerian Pengajian Tinggi.

- Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Sementara itu, pada sidang akhbar sebelum pertemuan dengan editor media tempatan di kediamannya di ibu negara petang ini, Najib menegaskan, tiada sebab mengapa pemansuhan kementerian tersebut perlu dijadikan polemik.

Kata Perdana Menteri, ini kerana agensi yang selama ini berada di bawah MeCD tidak pun dibubarkan dan akan tetap meneruskan fungsi serta peranan mereka dengan ditempatkan di beberapa kementerian lain.

“Seperti Mara, kita kembalikan agensi itu kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Pada masa dulu, agensi itu di kementerian tersebut juga seperti ketika zaman Tun Ghafar (Baba).

“Dan Menteri Luar Bandar sekarang adalah seorang Naib Presiden UMNO. Takkan beliau tak boleh kita harapkan untuk laksanakan program Mara umpamanya.

“Jadi saya tak nampak polemik tentang pemansuhan kementerian ini sebagai sesuatu yang patut dijadikan isu. Ini sebenarnya usaha kita untuk mewujudkan kerajaan yang lebih kecil dan efisien,” katanya.

Mengenai LPKP, Perdana Menteri menjelaskan, ia diletakkan di bawah JPM kerana kerajaan mahu mewujudkan sebuah badan baru yang dikenali sebagai Lembaga Pengangkutan Kebangsaan.

Katanya, atas sebab itu juga LPKP tidak berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pengangkutan kerana peranan dan fungsi badan baru tersebut akan merentasi pelbagai kementerian.

“Undang-undang lembaga ini sedang digubal. Sebenarnya ia diputuskan semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi lagi. Saya fikir tahun ini (boleh dimuktamadkan),” jelasnya.

Sumber : Utusan Malaysia

Tag : Politic
0 Komentar untuk "Fungsi MeCD Diserap"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Back To Top