Tun M Iktiraf Pucuk Pimpinan Baru UMNO - Najib

Leave a Comment
Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan hasrat bekas perdana menteri dan presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad kembali semula ke dalam Umno sebagai pengiktirafan kepada barisan pucuk pimpinan Umno yang baru.

“Kehadiran Tun (Dr) Mahathir menunjukkan wujudnya penyatuan kembali anggota serta kesepaduan baru dalam parti ini dan diharapkan ini akan menyemarakkan parti untuk mengorak langkah ke hadapan dengan agenda pembaharuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas berakhirnya Perhimpunan Agung Umno 2008 yang berlangsung selama lima hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Dr Mahathir hari ini berkata beliau akan kembali menyertai Umno dan akan mengumumkan tarikh itu pada satu masa yang sesuai ’selepas beberapa perkembangan’.

Sebelum itu, beliau dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali membuat kejutan, apabila hadir untuk mengikuti sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno di Dewan Merdeka, PWTC.

Bekas perdana menteri itu tiba kira-kira pukul 12.30 tengah hari sewaktu ucapan penggulungan Timbalan Presiden Umno yang baru, Tan Sri Muhyiddin Yassin, lantas disambut dengan tepukan gemuruh para anggota perwakilan.

“Saya percaya Tun boleh memberi pandangan dan nasihat dari masa ke semasa.

Sebab itulah saya dah ajukan untuk berjumpa kedua-dua mereka (Dr Mahathir dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) untuk berbincang masa depan parti dan negara,” kata Najib.

Ditanya sama ada beliau akan memberi apa-apa peranan kepada Dr Mahathir dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas menjadi Perdana Menteri, Najib berkata:

“Akan ada peranan tertentu tetapi kami akan bercakap mengenainya kemudian. Saya belum lagi mengambil alih jawatan. Kenapa anda cepat membuat kesimpulan?"

— BERNAMA

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: