32 Belajar di Tempat Letak Kereta


IBU BAPA menunggu anak-anak mereka yang terpaksa belajar di luar bangunan setelah Tabika Kemas ditutup di Taman Rakyat Mergong, Alor Setar, semalam. - UTUSAN/ZAINAL AZHAR MOHAMED

Selepas isu Tabika Kemas di Balik Pulau, Pulau Pinang dirantai dan dimangga bulan lalu, kini nasib yang sama menimpa 32 kanak-kanak di Taman Rakyat Mergong, Alor Setar di sini yang terpaksa belajar di tempat letak kereta.

Cuma kali ini kelas untuk kanak-kanak Tabika Kemas itu telah diambil alih oleh Badan Amal Taman Rakyat Mergong untuk dijadikan surau.

Sedangkan tabika itu yang terletak di tingkat bawah bangunan dua tingkat itu telah beroperasi sejak 13 tahun lalu.

Surau tersebut sebelum ini terletak di tingkat atas bangunan berkenaan.

Masalah itu bermula setelah kelas mereka diubah suai untuk dijadikan surau dan kelas agama kerana surau di tingkat atas dikatakan tidak lagi dapat menampung pertambahan jemaah terutama menjelang musim perayaan.

Pengurusan surau yang ditadbir Badan Amal Taman Rakyat Mergong itu juga mendakwa selama 13 tahun beroperasi di situ, pihak Kemas gagal menjelaskan bil-bil prasarana dan sewa bangunan tersebut.

Akibatnya kanak-kanak yang tidak berdosa dan tidak mengerti apa-apa itu terpaksa berpanas di tempat letak kereta demi untuk mendapatkan ilmu.

Pada 2 Februari lalu, seramai 22 kanak-kanak Tabika Perpaduan Kemas Taman Nelayan Kuala Sungai Pinang, Pulau Pinang terpaksa belajar di bawah panas terik matahari lebih dua jam ekoran pintu pagar tabika berkenaan dirantai dan dimangga.

Tindakan tidak membenarkan pihak tabika menggunakan bangunan Desa Taman Nelayan Kuala Sungai Pinang itu didakwa dilakukan oleh Jawatankuasa Keselamatan & Kemajuan Kampung (JKKK) Kuala Sungai Pinang di bawah kelolaan kerajaan negeri pimpinan DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, beliau tidak tahu mengapa badan amal taman itu sanggup menghalau kanak-kanak yang hanya menumpang belajar di situ.

"Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sendiri sebelum ini telah memberi jaminan bahawa kerajaan negeri tidak akan mengganggu tempat-tempat yang menjadi pusat menuntut ilmu di kalangan kanak-kanak.

"Saya tidak faham mengapa kumpulan ini tidak mengikut arahan Menteri Besar dan kami mahu perkara ini segera diselesaikan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang ibu, Aida Maslina, 24, berkata, kejadian yang menimpa anaknya tidak ubah seperti berada di negara miskin yang diserang dan dijajah musuh.

"Masalah ini perlu diselesaikan secepat mungkin sebelum keadaan menjadi lebih rumit dan mengganggu emosi pelajar terlibat.

"Jika badan amal taman ini mempunyai masalah pun, mereka sepatutnya berbincang dan menyelesaikannya secara baik dan bukannya mengusir pelajar yang sedang menimba ilmu," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan, Kerja raya dan Pertanian negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi ketika dihubungi berkata, kerajaan negeri tidak tahu mengenai perkara tersebut.

"Kerajaan tidak mempunyai maklumat mengenai perkara ini namun kami bersedia untuk membantu mencari tempat baru bagi membolehkan kanak-kanak terlibat menyambung pembelajaran mereka secepat mungkin," ujarnya.

Sumber : Utusan

p/s -> apa la nak jadi zaman skg ni, kanak-kanak pun menjadi mangsa keadaan.......

Tag : Public
0 Komentar untuk "32 Belajar di Tempat Letak Kereta"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Back To Top