Pilihan Raya Bukit Selambau

Leave a Comment

ALOR SETAR 9 Feb. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah akan mengadakan pramesyuarat pilihan raya esok sebagai persiapan memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau berikutan peletakan jawatan penyandangnya, V. Arumugam hari ini.

Pengerusi PKR Kedah, Ahmad Kassim memberitahu, mesyuarat akan diadakan di Sungai Petani dalam Parlimen Merbok sebelum pimpinan tertinggi parti itu bermesyuarat di peringkat Pusat.

"Kita telah bersiap sedia dan calonnya akan diputuskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) selepas PKR negeri beri cadangan," kata beliau pada sidang akhbar di Kediaman Menteri Besar, Sri Mentaloon di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Speaker DUN Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Syed Unan Mashri Syed Abdullah.

Kerusi DUN Bukit Selambau kosong apabila Arumugam yang juga Exco kerajaan negeri meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan tersebut berkuat kuasa serta merta.

Ditanya adakah PKR akan meletakan calon berbangsa India, Ahmad berkata, beliau tidak menolak kemungkinan itu dan ia akan diputuskan selepas menilai calon-calon yang berpotensi.

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: