Bas RapidPenang bakal dilengkapi WiFi

RapidPenang Sdn. Bhd (RapidPenang) bakal menjadi syarikat bas pertama di negara ini yang menyediakan kemudahan WiFi dalam bas menjelang pertengahan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif RapidPenang, Azhar Ahmad berkata, perkhidmatan tersebut membolehkan pelanggan syarikat pengangkutan itu melayari kemudahan Internet ketika dalam perjalanan ke destinasi masing-masing.

Menurut beliau, semua bas RapidPenang termasuk tambahan 200 lagi buah bas menjelang Jun ini akan dilengkapi kemudahan tersebut.

''Ini adalah satu lagi inisiatif untuk memberi kemudahan kepada pelanggan-pelanggan RapidPenang dalam usaha meningkatkan mutu serta kualiti perkhidmatan kami.

''Kemudahan ini adalah selaras dengan usaha meluaskan kemudahan jaringan Internet bagi membolehkan masyarakat meningkatkan kecekapan dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran laluan baru RapidPenang di Kampung Pekan Darat yang disempurnakan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop di sini hari ini.

Azhar memberitahu, dengan penambahan laluan baru itu, operasi RapidPenang kini meliputi 35 laluan di seluruh Pulau Pinang termasuk di kawasan pulau.

Menurut beliau, pihaknya juga sedang dalam proses untuk menyediakan kemudahan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi membolehkan pelanggan mengetahui kedudukan sesebuah bas di laluan-laluan tertentu.

Katanya, melalui perkhidmatan itu, tempoh ketibaan bas dapat diketahui hanya dengan menghantar SMS sekali gus membantu pelanggan mengatur masa perjalanan mereka.

Selain itu jelas beliau, 200 bas baru yang akan diterima syarikat itu pada Jun ini juga akan dilengkapi kemudahan bagi golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

''Kita mahu pastikan bahawa semua lapisan masyarakat dapat menikmati kemudahan yang kita sediakan termasuk golongan OKU dan warga emas," tambahnya.

RapidPenang merupakan syarikat bas henti-henti pertama yang dilengkapkan dengan sistem pengesan kedudukan global (GPS) bagi membolehkan pelanggan mengetahui kedudukan bas.

Tag : Technology
0 Komentar untuk "Bas RapidPenang bakal dilengkapi WiFi"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Back To Top