RM1 hidangan tengah hari

Leave a Comment

PADA tahun-tahun awal merdeka, seseorang dapat makan agak 'mewah' dengan membayar kurang daripada satu ringgit.

Hari ini dengan kadar inflasi yang meningkat, adakah 'kemewahan' sebegini dapat dicapai?

Baru-baru ini, penulis agak terkejut apabila seorang rakan telah membelikan sebungkus nasi vegetarian dari sebuah restoran di Sentul, Kuala Lumpur pada harga RM1.

Ini adalah satu kejutan yang menggembirakan, lebih-lebih lagi pada hari ini nasi lemak biasa yang dibungkus dalam daun pisang dijual pada harga RM1.50, dan kuih-muih pada harga 40 hingga 50 sen sebiji.

Makanan berharga RM1 itu terdiri daripada nasi serta sayuran, kuah kari dhal, acar serta beberapa keping keropok papadom.

Restoran tersebut menjual makanan pada harga yang amat berpatutan, sedangkan untuk makan tengah hari yang ringkas di ibu kota, kita perlu bayar kira-kira RM5.

Nasi bungkus itu ialah berita baik kerana menurut Jabatan Perangkaan Indeks Harga Pengguna (IHP), untuk bulan November 2008 terdapat kenaikan 5.7 peratus jika dibandingkan pada bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Indeks untuk Makanan dan Minuman Bukan Alkohol untuk November pula mencatatkan kenaikan 11 peratus jika dibandingkan pada bulan yang sama tahun 2007.

Walaupun kerajaan telah menurunkan harga petrol sebanyak tujuh kali ganda sejak Jun 2008 iaitu daripada RM2.70 seliter (Jun) kepada RM1.80 seliter (Disember), harga barang makanan masih kekal mengikut rentak penurunan itu.

Menurut seorang ahli akademik, Fatimah Mansur, pengguna sebenarnya mempunyai pilihan mengenai apa yang mereka mahu dan perlukan.

"Kita tidak boleh salahkan peniaga kerana mereka perlu cari pendapatan dan mereka perlu sediakan pelbagai pilihan untuk pengguna. Rasa dan selera pengguna memang berbeza," kata Fatimah yang juga merupakan aktivis sosial dan pengguna.

"Kini, pengguna ada pilihan untuk terbang dengan harga tambang murah. Apa kata konsep ini kita panjangkan semasa kita beli makanan?

"Sudah tentu harganya akan jadi lebih murah," katanya.

Menurut Fatimah, ada pelbagai 'tambahan' yang sebenarnya tak perlu bagi pengguna.

"Bila kita makan di restoran, kita ada sifat untuk mengambil lauk lebih seperti ayam, daging dan sebagainya. Apa kata kalau kita ambil apa yang mahu dimakan sahaja?" ujarnya.

Sementara itu, apabila ditunjukkan gambar nasi yang berharga RM1, seorang pakar pemakanan di sebuah pusat perubatan di Kuala lumpur berkata:

"Makanan seperti ini memang bernilai untuk wang. Ia sihat, kurangkan nasi, tambah sumber protein seperti ikan dan sayur untuk lebih fiber bagi diet yang lebih seimbang." - Bernama

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: