Nickelback - Gotta Be Somebody

Leave a Comment
Read More

10 Tabiat Penyebab Kerosakan Otak

Leave a Comment
1. Tidak mengambil sarapan pagi - Apabila seseorang tidak mengambil sarapan pagi, paras gula dalam darah akan menjadi rendah. Ini akan mengakibatkan kekurangan bekalan nutrisi pada otak dan menjadikannya kurang aktif.

2. Terlebih makan - Ia akan membebankan pembuluh darah otak dan mengurangkan kuasa mental otak.

3. Perokok - Asap rokok akan mengakibatkan sel-sel otak terjejas atau terbakar dan boleh mengakibatkan penyakit 'Alzheimer'.

4. Penggunaan gula yang berlebihan - Pengambilan gula secara berlebihan akan mengganggu penyerapan protein dan nutrisi. Selain daripada itu, ia akan mengganggu perkembangan otak yang sihat.

5. Pencemaran udara - Otak adalah pengguna oksigen terbesar dalam badan manusia. Pencemaran udara boleh menyebabkan pengurangan bekalan oksigen ke otak dan keaktifan otak.

6. Terlebih tidur - Tidur adalah bagus untuk merehatkan otak tetapi masa tidur yang panjang boleh mengakibatkan sel-sel otak kita mati.

7. Menutup muka ketika tidur - Tidur sambil menutup muka akan mengakibatkan otak menerima lebih banyak karbon dioksida berbanding oksigen dan ini akan membawa kerosakan kepada otak.

8. Membiarkan otak bekerja semasa kita berada di dalam keadaan kurang sihat. Bekerja semasa anda kurang sihat boleh mengurangkan keberkesanan otak dan juga membawa kerosakan kepada sel-sel otak.

9. Kurang berimiginasi - Berfikir adalah satu cara terbaik untuk melatih otak kita. Kurangnya berimiginasi boleh menyebabkan tahap kecerdasan/keaktifan otak menurun.

10. Jarang berfikir - Jarang berfikir akan menyebabkan otak kita kurang aktif. Oleh itu, perbincangan yang membina boleh menambah keberkesanan kecerdasan otak kita.
Read More

Lelaki, Makanlah Banyak Sayur

Leave a Comment

LELAKI dan wanita sememangnya berbeza. Bukan sahaja dari segi gender, penampilan, perilaku dan reaksi malah, juga dari aspek pemakanan.

Satu kajian baru yang melibatkan lebih 14,000 peserta dari 10 negeri di Amerika mendapati, pengambilan makanan berdaging adalah lebih tinggi di kalangan lelaki.

Kaji selidik yang berlangsung menerusi panggilan telefon ini turut mendedahkan wanita mengambil lebih banyak sayuran dan buah-buahan dalam diet mereka.

Piza beku, burger beku dan makanan-makanan Mexico adalah antara makanan pilihan kaum lelaki. Pun begitu, mereka masih cenderung mengambil sayuran seperti asparagus, brussel, kacang pea, kacang tanah dan pucuk-pucuk sayur.

Selain itu, lelaki juga lebih gemar mengambil makanan stik yang tidak masak sepenuhnya, burger dan makanan bertelur. Makanan-makanan ini biasanya mempunyai risiko pencemaran yang tinggi dan berpotensi membuatkan anda jatuh sakit.

Wanita sebaliknya lebih kerap mengambil tunas-tunas alfalfa mentah yang pernah dikaitkan dengan keracunan makanan kira-kira 15 tahun lalu.

Keprihatinan kaum wanita terhadap kesihatan dengan mengambil makanan yang menyihatkan turut dibuktikan dalam satu kajian baru oleh Yayasan Majlis Maklumat Pemakanan Antarabangsa (IFIC).

Pengambilan makanan sihat bukan hanya untuk mengekalkan tahap kesihatan secara menyeluruh malah bagi memperbaiki rasa kenyang dan keadaan sistem pencernaan mereka.

Menurut Pengarah Kesihatan dan Nutrisi Yayasan IFIC, Wendy Reinhardt Kapsak: "Tidak terdapat perbezaan antara lelaki dan wanita tentang pandangan terhadap jenis makanan yang diambil. Memang jelas mereka mempunyai tahap keutamaan dan keadaan berbeza yang mempengaruhi tabiat pemakanan dan nutrisi mereka."

Keperluan nutrisi wanita adalah lebih unik dan bukan sahaja berbeza daripada lelaki. Tambahan pula, keadaan ini juga berubah sepanjang kehidupan mereka.

Bermula dari zaman remaja, wanita lebih memberi tumpuan kepada makanan yang kaya dengan kalsium, vitamin D dan menyediakan satu pemahaman asas terhadap pengamalan tabiat yang baik.

Ini kemudiannya berterusan kepada pengambilan antioksida pada usia 20-an dan 30-an sebelum menjadikan kesihatan jantung satu keutamaan sebelum mencecah 40 tahun ke atas.

Dalam pada itu, seorang pakar diet bertauliah, Dr. Chris Mohr yang telah mengarang ratusan artikel mengenai tahap kecergasan dan nutrisi kaum lelaki berkata: "Saban kali dalam sesuatu masyarakat, kita sering terlebih makan tetapi masih tidak memperoleh nutrisi mencukupi."

"Pengambilan nutrien yang betul sememangnya boleh memberi kesan kepada perasaan, tahap tenaga dan mengurangkan risiko mendapat penyakit sepanjang hidup anda. Berikan perhatian kepada sayuran dan buah-buahan termasuk makanan tinggi serat dan lemak omega-3 adalah penting untuk mengoptimumkan kesihatan dan kecergasan anda."

Sayuran dan buah-buahan mengandungi pelbagai nutrien yang penting untuk badan. Vitamin, mineral, serat dan fitokimia yang mampu membantu mengurangkan risiko pelbagai kanser, penyakit jantung, diabetes dan tekanan darah tinggi.

Jadi, mengapa lelaki memerlukan hidangan sayuran dan buah-buahan yang lebih banyak berbanding golongan Hawa?

* Lebih daripada dua pertiga kaum Adam adalah obes. Malah, lelaki juga mencatatkan kadar kematian lebih tinggi untuk sesetengah jenis penyakit berbanding wanita.

* Lelaki adalah dua kali ganda lebih cenderung mendapat kanser paru-paru, satu kali ganda memperoleh penyakit jantung dan kanser kolorektal.

Oleh itu, biarpun sebab utama lelaki lebih cenderung memakan asparagus berbanding wanita belum dapat dijelaskan, sekurang-kurangnya kajian ini membawa satu mesej penting. Lelaki mungkin perlu mengubah gaya pemakanan mereka mulai hari ini.

Maklumat lanjut, layari laman web www.medicalnewstoday.com

Sumber : Kosmo

Read More

Malaysia Lawan Singapura

Leave a Comment
Pasukan Malaysia

Pasukan Singapura

PERTEMUAN antara blogger dari Malaysia dan Singapura dalam pertandingan julung kali diadakan, Cabaran Blogger Brand's menyaksikan satu persaingan sengit antara kedua-dua pasukan.

Pertandingan yang dianjurkan buat pertama kalinya oleh Brand's itu bagaimanapun memperlihatkan kehebatan Singapura selaku tuan rumah apabila pasukan mereka menang dengan catatan mata 54-47.

Setiap negara diwakili oleh lima blogger yang dipilih oleh Brand's berdasarkan populariti mereka di negara masing-masing. Dalam erti kata lain, mereka merupakan blogger yang mempunyai ramai pembaca, pengikut atau penyokong menerusi blog yang ditulis.

Malaysia diwakili oleh lima blogger iaitu Red Diva, KY, Sultan Muzaffar, Suanie dan KK selaku ketua pasukan manakala Singapura diwakili oleh ECL Tan, Aaron Ng, Sheylara, Mr. Endoh dan Wilfrid Wong (ketua).

Untuk pertandingan tersebut, setiap peserta bersaing menunjukkan kehebatan mereka dalam siri cabaran yang menguji tahap tumpuan atau fokus, memori dan kepantasan berfikir peserta dalam masa yang singkat.

Naib Presiden Regional Marketing Cerebos Pacific Limited, Isabella Tan berkata, pertandingan Cabaran Blogger seumpama ini diilhamkan daripada tinjauan yang dilakukan oleh Brands terhadap fungsi mental penduduk Asia.

"Melalui tinjauan yang kami jalankan, rakyat Singapura dan Malaysia lebih prihatin terhadap pengambilan makanan kesihatan tambahan bagi mengekal dan meningkatkan tahap persembahan mental mereka berbanding negara lain yang terlibat seperti Jepun, Hong Kong, China, Taiwan, India dan Thailand.

"Malah, kami sentiasa terbuka untuk menarik pelanggan kami menerusi cara dan inovatif baru. Selain itu, kami juga mensasarkan pelanggan muda mengenai penggunaan saluran online bagi menjana perbincangan mengenai Brand's dan produk kami," jelasnya.

Sementara itu, dua minggu sebelum cabaran itu berlangsung, semua peserta menerima kit pati ayam Brands untuk dihabiskan dalam tempoh 14 hari yang dipercayai mampu meningkatkan tahap kecerdasan otak seseorang individu.

Ketika pertandingan berlangsung, peserta turut dibekalkan dengan minuman pati ayam Brand's di atas meja masing-masing.

Terdapat tujuh pusingan cabaran yang perlu dihadapi peserta dimulai dengan Buzz Words iaitu cabaran menyusun huruf yang dipamerkan menjadi perkataan. Pusingan ini dimenangi oleh pasukan Singapura dengan catatan 3-2.

Untuk pusingan kedua, cabaran Mental Target menanti peserta yang akan berpasangan dengan pasukan lawan untuk memastikan siapa yang menang. Cabaran ini memerlukan peserta memilih senarai nombor yang dipaparkan bagi menjadikan ia jumlah yang diperlukan oleh juri.

Bagi pusingan ketiga atau Movie Clips, setiap peserta perlu menyaksikan tayangan video pendek dengan penuh perhatian kerana soalan akan diberi berdasarkan apa yang terdapat dalam klip video tersebut.

Dalam pusingan ini, kemenangan berpihak pada pasukan Malaysia yang mencatat lima jawapan betul berbanding tiga daripada Singapura. Ini menjadikan kedudukan ketika itu ialah 7-3.

Sentence Trivia pula mengisi ruang pusingan keempat di mana peserta perlu menyelesaikan ayat yang diberi. Contohnya apakah maksud di sebalik 24 H In A D? Jawapannya ialah 24 Hours In A Day.

Kali ini, Malaysia sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang apabila memenangi cabaran tersebut dan terus mendahului Singapura dengan kedudukan 9-5.

Bagaimanapun, pada pusingan kelima untuk cabaran Boggle Your Mind, pasukan Malaysia terpaksa akur apabila tewas pada Singapura. Dalam cabaran ini, setiap kumpulan perlu menghasilkan perkataan sebanyak mungkin daripada sembilan huruf yang diberi. Singapura berjaya mendapat 39 perkataan manakala Malaysia sekadar 31. Ini menjadikan kedudukan Malaysia 40, Singapura 44.

Pada pusingan keenam pula, cabarannya ialah Spot The Chicken iaitu peserta perlu meneka di mana letaknya anak ayam yang berada di atas pati ayam Brand's yang telah dipusing-pusingkan untuk mengelirukan mereka. Keputusannya menyaksikan Malaysia menambah tiga mata sementara Singapura mencatat empat mata sekali gus Singapura terus mendahului dengan catatan 45-43.

Pusingan terakhir menjadi penentu untuk kedua-dua pasukan. Dengan cabaran Test Your Memory, kedua-dua pasukan bekerja keras memberi yang terbaik untuk memastikan kemenangan mereka. Namun, pasukan negara gagal mengatasi Singapura yang menang dengan kelebihan 54 mata berbanding 47 untuk Malaysia.

Bagi salah seorang peserta Malaysia, Red Diva, pertandingan Cabaran Blogger amat menyeronokkan dan menjadi satu alternatif baru untuk mengeratkan hubungan antara blogger kedua-dua negara.

"Diharap, untuk tahun-tahun berikutnya jika pihak Brand's ingin mengadakan pertandingan serupa, mereka perlu meningkatkan tempoh waktu pertandingan dan menjemput penyertaan dari negara-negara Asia yang lain," kata Red Diva.

Ketua pasukan Singapura, Wilfrid Wong pula berkata, dia dan rakan-rakannya seronok kerana beraksi dalam pertandingan yang sememangnya menguji kepantasan minda untuk berfikir.

"Saya benar-benar teruja dengan Cabaran Blogger ini. Ia memerlukan kerjasama dalam pasukan dan kami gembira apabila kemenangan berpihak kepada kami," ujar Wilfrid sambil tersenyum.

Dengan kemenangan itu, pasukan Singapura menerima hadiah wang tunai S$1,200 (RM2,852) serta hamper barangan Brand's manakala pasukan Malaysia menerima S$600 (RM1,426) dan juga hamper dari Brand's.

Sumber : Kosmo

Read More

Bersenam Demi Tulang

Leave a Comment

SEPERTI minyak dan air, aktiviti fizikal telah sekian lama dikatakan tidak serasi dengan artritis reumatoid (RA). Ini secara tidak langsung menyebabkan pesakit RA takut untuk bersenam kerana mereka khuatir senaman akan menyebabkan kerosakan sendi mereka.

Tetapi hakikatnya, tidak ramai yang tahu bahawa senaman adalah faktor penting dalam pengurusan keadaan penyakit ini dan usaha untuk mengekalkan gaya hidup sihat.

Mungkin sebelum ini doktor tidak menggalakkan pesakit RA menyertai program senaman, tetapi sekarang aktiviti fizikal dipercayai adalah satu komponen penting dalam pengurusan penyakit.

Menurut hasil kajian di Belanda baru-baru ini, yang membabitkan 300 pesakit RA dalam program senaman atau terapi fizikal selama dua tahun, senaman berat (intensiti tinggi) dalam jangka panjang terbukti selamat untuk pesakit RA.

Ia berkesan membantu pesakit yang mengalami RA peringkat awal untuk berfungsi dengan lebih baik dari segi fizikal dan emosi.

“Meskipun senaman berat biasanya tidak disyorkan, terdapat jenis senaman tertentu yang terbukti selamat untuk pesakit RA dan berkesan mengurangkan kesakitan secara keseluruhan, membina kekuatan otot, dan memperbaiki keupayaan fungsi,” ujar konsultan reumatologi, Dr. Anwar Samhari Mat Arshad.

Senaman dapat membantu pesakit RA mengekalkan berat badan yang sihat. Ia penting kerana kenaikan berat badan boleh menambah tekanan ke atas sendi, terutamanya lutut, hingga boleh menyukarkan lagi pergerakan.

“Selain itu, senaman diketahui dapat menceriakan mood dan perasaan. Ramai pesakit RA ‘cepat naik angin’ kerana mereka merasa tertekan akibat menghidap penyakit kronik yang menyakitkan hingga memaksa mereka mengubah gaya hidup secara drastik,” ulas Anwar.

Menurutnya, pesakit RA sering kecewa kerana terpaksa menghabiskan lebih banyak masa untuk melakukan perkara biasa setiap hari dan sedih kerana menjadi beban dalam keluarga.

Justeru, senaman dapat membantu mengawal kekecewaan dan kesedihan pada tahap minimum dengan membina keyakinan dalam keupayaan fizikal pesakit RA.

Antara jenis senaman yang disyorkan untuk pesakit RA adalah senaman regangan. Senaman ini paling mudah tetapi dapat menambah fleksibiliti sendi dan meningkatkan pergerakan sendi. Ia juga dapat mengurangkan kemungkinan pesakit mengalami kecederaan.

“Senaman ini membabitkan regangan sendi dan kumpulan otot yang berlainan selama 10 hingga 30 saat. Yoga dan tai chi adalah antara senaman regangan yang baik kerana ia menumpukan kepada fleksibiliti dan imbangan,” terangnya.



Senaman membina kekuatan juga penting di kalangan pesakit RA yang rata-ratanya mengalami masalah kelemahan otot. Kebanyakan pesakit RA berasa lemah dan tidak berdaya mengekalkan tahap kekuatan mereka.

Hakikatnya, kelemahan otot boleh dielakkan dan dipulihkan dengan latihan membina kekuatan. Senaman isometrik baik untuk pesakit RA kerana ia menguatkan otot tanpa menggerakkan sendi.

Senaman pelaziman atau senaman aerobik, aktiviti ringan seperti menari, mengayuh basikal, berjalan dan berenang, dapat membantu pesakit membina stamina demi manfaat badan termasuk menguatkan jantung, saluran darah dan paru-paru.

“Antara semua senaman ringan, berenang adalah senaman yang terbaik untuk pesakit RA kerana ia tidak menyebabkan tekanan ke atas sendi tetapi membolehkan sendi bersenam’ hingga mencapai potensi penuh,” kata Anwar.

Menurutnya, pengapungan dalam air akan mengurangkan tekanan ke atas sendi, seterusnya membolehkan pesakit RA bergerak lebih bebas berbanding apabila mereka berada di darat.

Read More

Bakal Pengantin Islam Wajib Jalani Ujian HIV

Leave a Comment

KUALA LUMPUR - Mulai tahun depan, semua bakal pengantin Islam akan diwajibkan menjalani ujian saringan Human Immunodeficiency Virus (HIV) yang akan dikuatkuasakan di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai AIDS di Parlimen semalam berkata, saringan itu adalah sebahagian daripada peraturan kursus praperkahwinan.

Katanya, langkah itu selaras dengan sasaran kerajaan untuk mengurangkan jangkitan HIV terutama kepada wanita yang kini menunjukkan peningkatan.

"Tahun depan, kita akan mewajibkan semua negeri untuk mewajibkan saringan HIV yang jadi sebahagian daripada kursus praperkahwinan," katanya kepada pemberita.

Sebelum ini, hanya beberapa negeri yang mewajibkan bakal pengantin yang ingin melangsungkan perkahwinan menjalani saringan HIV.

Antara negeri yang telah mewajibkan saringan HIV ialah Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Selangor dan Kelantan.
Read More

Peniaga Perlu Ada Ilmu

Leave a Comment

KUALA LUMPUR 18 Dis. - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, seseorang peniaga baru boleh berjaya jika memiliki ilmu, usaha dan sikap positif yang dipraktikkan secara bersama.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan ketiga-tiga elemen itu amat penting dalam membawa seseorang peniaga ke arah kejayaan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

"Ilmu yang saya maksudkan bukan ilmu akademik semata-mata. Ada pengusaha yang berjaya, tetapi bersekolah hingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja. Seseorang itu boleh berjaya sebab memiliki ilmu yang sesuai untuk menjadi usahawan.

"Ilmu yang ada boleh mewujudkan peluang kepada seseorang itu," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan Desa di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib.

Katanya lagi, melalui ilmu yang tepat, seseorang usahawan itu akan dapat mewujudkan nilai tambah ke atas sesuatu produk seperti kaedah pembungkusan yang menarik atau perisa baru makanan yang seterusnya boleh meningkatkan permintaan untuk produk berkenaan.

Perkara kedua, kata beliau, usaha yang memerlukan seseorang usahawan itu sentiasa rajin dan memikirkan cara untuk mengembangkan sesuatu perniagaan.

"Seseorang peniaga mahu berjaya, perlu rajin 'luar biasa', kena sentiasa berfikir siang dan malam. Masa mandi pun kena fikir cara untuk menjamin kejayaan," katanya.

Dalam aspek usaha pula, kata beliau, seseorang yang menjadi usahawan berjaya tidak boleh bersikap rajin pada masa-masa yang tertentu sahaja.

Kedua-dua aspek itu, tambah beliau, perlu pula digabungkan dengan sikap positif yang melibatkan unsur penampilan dan jati diri menarik.

"Tampilkan personaliti yang ceria. Kebanyakan perniagaan adalah berorientasikan perkhidmatan, dengan cara ini, ramai yang boleh menjadi pelanggan tetap kita," katanya.

Beliau seterusnya melahirkan keyakinan dengan kemampuan kementerian bertanggungjawab untuk menghasilkan 40,000 usahawan kecil dalam beberapa tahun akan datang.

Terdahulu, Muhammad ketika berucap berkata, pihaknya menyasarkan untuk mewujudkan 40,000 usahawan kecil-kecilan menjelang 2015.

Bagi tujuan itu, katanya lagi, kementerian akan menjelajah ke seluruh negara untuk mewujudkan pengusaha kecil-kecilan.

Sumber : Utusan

Read More

Kesihatan Ibarat Kekayaan

Leave a Comment

RAMAI yang sibuk membincangkan tentang krisis ekonomi semasa dan bagaimana kesan kegawatan akan dirasai pada tahun-tahun mendatang.

Di seluruh dunia, syarikat perniagaan mengalami kesan kesempitan kredit manakala individu dan keluarga mereka pula mengkaji semula keutamaan kewangan masing-masing menyebabkan perbelanjaan isi rumah dikurangkan secara ketara, termasuk penjagaan kesihatan.

Dalam keadaan sukar seperti ini, perbelanjaan perlu diuruskan dengan teliti. Tetapi usaha menjimatkan kos kadangkala turut menjejaskan perbelanjaan kesihatan peribadi dan juga keluarga.

Antaranya mengurangkan perbelanjaan mencegah penyakit, membuat keputusan membeli ubat sendiri dan melengahkan keputusan berjumpa doktor apabila sakit.

Masalah kesihatan pesakit lazimnya dikesan pada peringkat lewat atau akhir, menyebabkan pesakit terpaksa dimasukkan ke hospital serta mendapatkan rawatan perubatan yang berpanjangan dan serta-merta atau menjalani pembedahan besar.

Dalam laporan yang diterbitkan oleh Friend Provident and the Blood Pressure Association, Britain, kajian mendapati, bahawa 56 peratus daripada responden membeli makanan lebih murah sebagai langkah menjimatkan kos, 15 peratus telah mengurangkan perbelanjaan bagi buah-buahan dan sayur-sayuran segar, dan 21 peratus mengurangkan penggunaan gim akibat kegawatan ekonomi.

Tambahan lagi, 27 peratus daripada mereka semakin bimbang, 19 peratus kurang tidur, dan 15 peratus bekerja lebih panjang masa akibat tekanan ekonomi.

Satu lagi tinjauan oleh D2Hawkeye Inc., sebuah firma analisis data perubatan bagi pihak Wall Street Journal menunjukkan bahawa kemelesetan ekonomi telah menyebabkan sesetengah rakyat Amerika membatalkan polisi insurans mereka, dengan harapan mereka dapat menjimatkan premium mingguan untuk perbelanjaan seperti yuran sekolah anak-anak .

Menurut Indeks Keutamaan Membeli Pengguna MasterCard Worldwide yang dilaksanakan buat pertama kali, 70 peratus daripada pengguna rantau Asia Pasifik mengurangkan perbelanjaan budi bicara untuk tempoh 12 bulan akan datang. Makan minum dan hiburan (59 peratus) mendahului senarai, diikuti oleh fesyen dan aksesori (46 peratus), pendidikan kanak-kanak (44 peratus), dan pelancongan peribadi (42 peratus).

Hasil kajian juga mendapati bahawa 60 peratus daripada pengguna di rantau ini menghabiskan lebih 10 peratus daripada pendapatan tahunan peribadi mereka ke atas barangan budi bicara, dengan lebih 11 peratus daripada responden menyatakan bahawa mereka sebelum ini membelanjakan lebih 40 peratus.

Kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa ramai yang membuat perubahan ketara terhadap gaya hidup dan amalan hidup akibat kemelesetan ekonomi.

Walaupun tindakan orang ramai menguruskan wang lebih bijak memastikan mereka tidak terlalu boros berbelanja, perkara yang dikhuatiri ialah dalam usaha menguruskan kewangan peribadi dengan lebih baik, masing-masing mengabaikan perkara asas mengenai kesihatan diri dan keluarga mereka seperti pemeriksaan perubatan berkala, pemvaksinan, mengambil makanan sihat dan meneruskan senaman.

Kita sepatutnya menjadikan keadaan ekonomi yang gawat sebagai dorongan untuk membuat perubahan positif kepada amalan gaya hidup tidak sihat. Antaranya merokok, minum arak makan terlalu banyak makanan tidak sihat dan berusaha memupuk tabiat yang memberi sumbangan positif kepada kesihatan.

Jaga kesihatan menerusi pencegahan

Pemvaksinan rutin, pemeriksaan berkala semasa anak membesar dan pemeriksaan perubatan dari semasa ke semasa untuk orang dewasa ialah contoh khidmat penjagaan kesihatan penting yang membantu mencegah dan mengesan penyakit pada peringkat awal.

Walaupun kita tidak dapat mengelakkan sepenuhnya serangan penyakit, dengan kemujaraban ubat moden, banyak penyakit boleh diubati atau gejala dan kerumitannya boleh dikurangkan jika penyakit dikesan pada peringkat awal.

Dengan mencegah kesakitan dan kemudaratan, anda berasa lebih sihat dan gembira, seterusnya meningkatkan semangat dan tenaga anda untuk mengecap nikmat hidup.

Penjagaan kesihatan menerusi pencegahan ialah satu tindakan proaktif. Ia menggalakkan amalan gaya hidup sihat yang membawa kepada usia lebih panjang dan penyakit yang berkurangan.

Dalam jangka panjang, gaya hidup yang sihat boleh membantu anda mengelakkan masalah kewangan.

Pelaburan dalam kesihatan anda adalah satu keputusan kewangan yang penting dan bijak. Seseorang boleh membelanjakan jumlah yang kecil setiap tahun untuk menjaga kesihatan ataupun menghabiskan jauh lebih banyak wang untuk pulih daripada penyakit yang boleh dicegah dan kerumitannya.

Bandingkan perbelanjaan kecil menemui doktor dari masa ke semasa dengan kos pembedahan besar, kemoterapi, atau rawatan hospital jangka panjang.

Perbelanjaan besar ini akan melenyapkan seluruh tabungan individu; wang yang sepatutnya digunakan untuk hidup selesa dan mendapatkan perlindungan pada zaman persaraan. Ini sesuatu yang amat malang kerana kebanyakan penyakit ini boleh dicegah.

Penyakit gaya hidup amat berleluasa dan merupakan faktor yang amat membebankan sistem penjagaan kesihatan kita. Individu yang sihat dan keluarga yang mengamalkan gaya hidup sihat boleh meringankan beban berat yang dipikul oleh sektor perkhidmatan kesihatan kita. Ini akan menjadikan perkhidmatan penjagaan kesihatan lebih berkaitan, berkesan dan termampu.

Bagaimanakah cara untuk membuat pelaburan penting ini? Tumpuan kepada enam perkara berikut:

*Pemeriksaan perubatan dan kesihatan secara tetap.

*Pastikan semua pemvaksinan rutin dibuat mengikut jadual.

*Tidak menghisap rokok dan minum alkohol.

*Makan makanan seimbang yang berkhasiat dan semula jadi.

*Bersenam secara kerap.

*Menguruskan tekanan dengan bijak.

Sumber : Kosmo

Read More

Penggunaan Broadband Ditingkat 50%

Leave a Comment

KUALA LUMPUR 16 Dis. – Kerajaan mensasarkan peningkatan sebanyak 50 peratus penggunaan broadband di seluruh negara sebagai usaha membangunkan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan masyarakat luar bandar.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Mansor (gambar) berkata, tumpuan diberi kepada Sarawak kerana jurang ICT antara masyarakat bandar dan luar bandar agak besar.

“Pelaksanaannya akan dibuat melalui kerjasama kementerian, kerajaan negeri dan Suruhanjaya Komunikasi Multi Media (SKMM) dan menjelang tahun 2010, penggunaan broadband berserta komputer riba di kalangan kanak-kanak sekolah rendah di Sarawak dijangka dapat ditingkatkan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Pengenalan Rancangan Pembangunan Pendidikan dan ICT untuk Aktiviti Pembangunan Kapasiti di bawah Program Sarawak Rural Broadband Initiative (SRBI) di sini hari ini.

Beliau berkata, jurang perbezaan pengetahuan digital jelas ketara di antara dua kelompok masyarakat.

Justeru, katanya, di bawah projek berkenaan, bukan sahaja Sarawak dipilih sebagai perintis untuk penubuhan Pusat Komuniti Broadband tetapi juga modal insan berpengetahuan ICT dapat dilahirkan.

Beliau berkata, program tersebut sesuai untuk kanak-kanak berusia antara enam sehingga 12 tahun kerana pada usia itu, mereka harus didedahkan dengan penggunaan komputer riba.

Sehubungan itu, beliau memuji usaha syarikat Danawa Resources Sdn. Bhd., yang dilantik oleh kerajaan negeri untuk merealisasikan program tersebut di sekolah-sekolah di Sarawak.

‘‘Melalui usahasama Danawa dan sebuah lagi syarikat iaitu Sacofa Sdn. Bhd. (Sacofa), peruntukan sebanyak RM20 juta telah dikeluarkan untuk menjayakan projek Satu Komputer Riba Untuk Seorang Kanak-Kanak,’’ jelasnya.

Sumber : Utusan

Read More

Hantaran Nilai Kasih Sayang?

1 comment

DALAM majlis perkahwinan masyarakat Melayu, amalan membawa sirih junjung bersama sebentuk cincin merupakan satu kemestian dalam melangsungkan upacara merisik, meminang dan seterusnya bersanding.

Ia kemudian disertai dengan barang-barang iringan seperti persalinan, wangi-wangian dan sebagainya. Justeru, barulah wang hantaran dan mas kahwin dibawa pada hari pernikahan dilangsungkan.

Wang tersebut adalah pemberian ikhlas pihak lelaki kepada wanita yang ingin dikahwininya. Dahulu, maksud pemberian yang telus itu dihantar bagi meringankan beban keluarga perempuan kerana biasanya, kenduri di pihak perempuan lebih besar.

Dengan wang hantaran tersebut, keluarga perempuan akan menggunakannya untuk menampung pembiayaan majlis kenduri dan membeli barangan kelengkapan perkahwinan seperti set bilik tidur dan persalinan.

Namun senarionya kini, budaya itu telah disalahgunakan sehingga menyusahkan pihak lelaki. Hantaran tinggi telah menjadi trend untuk menunjuk-nunjuk bahawa lelaki mampu dan datang dari keluarga berada serta berjaya menawan hati perempuan yang mempunyai ramai peminat.

Kadangkala pihak perempuan yang meminta manakala lelaki malu menolak untuk menjaga maruah. Apabila yang diminta terlalu tinggi sehingga tidak mampu disediakan oleh pihak lelaki, maka berlakulah pinjam-meminjam dan bergolok bergadai.

Keadaan itu mampu menimbulkan pergolakan dalam sesebuah rumah tangga, walaupun ia baru dibina.

Ada harta, adalah cinta. Tiada harta, tiadalah cinta. Itulah kata-kata yang seringkali kita dengar dari mulut golongan lelaki mahupun wanita apabila diajukan tentang kepentingan nilai wang hantaran.

"Memang sukar hendak menikmati kebahagiaan sekiranya kita berpegang dengan prinsip sebegini. Memang tidak dinafikan, dunia hari ini perlukan wang, tetapi wang tidak boleh menyediakan kebahagiaan yang hakiki," tegas Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali.

Menjadi persoalan, adakah nilai hantaran itu dianggap sebagai penentu kasih sayang sehingga pasangan sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi kehendak keluarga perempuan mahupun lelaki itu sendiri?

"Saya tidak setuju dengan pendapat tersebut. Kalau jumlah hantaran itulah pengikat dan penentu kasih sayang, apakah itu bermaksud kasih sayang adalah seperti barangan yang boleh dijual beli?

"Cuba imbas pasangan suami isteri lampau, berapa jumlah hantaran kahwin mereka? Dengan hantaran yang tidak seberapa, mereka masih kekal hidup bahagia sehingga ke anak cucu hari ini. Lihat juga pasangan hari ini yang berkahwin dengan jumlah hantaran yang biasa, masih boleh kekal bahagia.

"Sebaliknya, pasangan yang berkahwin dalam sebuah majlis yang gah sehingga seluruh pelosok negara tahu dengan hantaran menyamai harga sebuah kereta, belum tentu kehidupan mereka bahagia. Malah, ada yang sudahpun bercerai-berai," katanya.

Apakah bermaksud kasih sayang kini sudah tiada ertinya walaupun diperoleh dengan harga yang tinggi? Kata Suzana, pendapat sebegitu hanya timbul dan akan dipersetujui oleh mereka yang memandang wujudnya kasih sayang itu melalui nilaian harta.

Kesan akibat penentuan jumlah wang hantaran yang tinggi ini, ia bukan sahaja menimbulkan masalah lambat kahwin atau perkahwinan tertangguh tetapi memberikan kesan yang mendalam kepada perkahwinan itu sendiri.

"Ada seorang klien saya mengadu, selepas lima tahun berkahwin, beliau tidak pernah berpeluang balik ke rumah ibu dan ayahnya. Bila diajukan permintaan kepada si suami, suaminya menjawab: "Awak tak boleh balik lagi ke sana sebab saya dah beli awak daripada ibu bapa awak."

"Sebabnya, si suami telah dipaksa membayar sejumlah hantaran yang tinggi ketika perkahwinan mereka. Bukan satu kes ini sahaja, ada juga kes perkahwinan tidak bahagia apabila si suami gagal menunaikan tanggungjawab sepenuhnya sebagai ketua keluarga kerana separuh daripada pendapatan bulanannya digunakan untuk melangsaikan hutang bank yang dipinjam untuk menyediakan wang hantaran.

"Malah, ada juga ibu bapa yang tidak melayan menantu dengan baik kerana merasakan keluarga menantunya telah memeras mereka apabila perlu menjelaskan sejumlah hantaran yang tinggi," katanya sambil memberitahu ada kes tersebut melibatkan pembunuhan seperti yang telah terjadi di Kedah tidak lama dulu.

Kebiasaannya, jumlah hantaran ditentukan oleh ibu bapa pengantin perempuan, sama ada wang hantaran ataupun barangan hantaran.

Nasihat Suzana, sewajarnya ketetapan hantaran ini dibuat oleh pihak perempuan setelah diadakan perbincangan dengan pihak lelaki.

Dengan cara sebegitu, wujudlah keharmonian dalam sebuah ikatan rumah tangga, tanpa timbulnya permasalahan melibatkan kewangan mahupun ungkit-mengungkit jumlah hantaran yang telah ditetapkan.

Sumber : Kosmo

Read More

Greece Lumpuh Akibat Mogok

Leave a Comment

ATHENS - Sejumlah remaja yang berang bertempur dengan anggota-anggota polis di luar pekarangan sebuah mahkamah di Athens semalam.

Satu mogok awam turut melumpuhkan Greece sekali gus mencetuskan tekanan terhadap kerajaan yang menghadapi rusuhan terburuk dalam tempoh beberapa dekad.

Dua anggota polis yang terlibat dalam kejadian pembunuhan seorang pelajar sekolah berumur 15 tahun sehingga mencetuskan rusuhan itu memberi keterangan di dalam mahkamah tersebut.

Sekumpulan remaja membaling bom petrol ke arah bangunan mahkamah manakala anggota-anggota polis melepaskan tembakan pemedih mata.

Sekuarng-kurangnya dua orang cedera dalam kejadian itu.

Anggota-anggota polis dan remaja turut bertempur di pusat bandar ketika tunjuk perasaan yang dihadiri lebih 100,000 orang diadakan bagi membantah dasar ekonomi kerajaan.

Sekolah-sekolah, jabatan perkhidmatan awam, hospital ditutup dan jadual penerbangan ditangguhkan ekoran mogok itu.

"Negara ini tidak ditadbir. Kerajaan tidak dapat meyakinkan orang ramai," kata seorang anggota kanan Parti Socialist, Evangelos Venizelos di Parlimen.

Sementara itu, satu laporan berhubung kematian pelajar itu yang sebelum ini didakwa maut akibat ditembak pihak berkuasa didapati berpunca daripada latunan peluru, kata seorang peguam polis semalam.

"Siasatan mendapati remaja malang itu mati akibat latunan peluru, ia adalah satu kemalangan," kata peguam itu Alexis Kougias.

Kematian pelajar itu, Alexandros Grigoropoulos, 15, itu mencetuskan keganasan sejak Sabtu lalu setelah rakyat Greece semakin marah dengan kerajaan berhubung cara kerajaan mengatasi masalah ekonomi, pengangguran, kemiskinan dan skandal membabitkan ahli politik.

- Agensi

Read More

Terima Kasih Melaka - Shah Rukh Khan

Leave a Comment

MELAKA - "Anugerah ini amat bernilai kepada saya."

Itu pengakuan pelakon Bollywood, Shah Rukh Khan selepas bergelar Datuk setelah dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) di Seri Negeri, Ayer Keroh semalam.

Shah Rukh Khan yang berbaju Melayu berwarna hitam lengkap dengan samping bersulam benang emas serta bersongkok menerima anugerah tersebut dari Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob.

Shah Rukh Khan memberitahu sidang akhbar, beliau berterima kasih ke atas pemberian anugerah tersebut dan amat berbangga untuk menerimanya.

Shah Rukh Khan berkata, beliau kemungkinan menjadikan Melaka sebagai salah satu lokasi penggambaran filem terbarunya, Happy New Year pada September tahun depan.

"Melaka merupakan negeri yang cantik," katanya.

Penganugerahan DMSM kepada artis terkenal dengan watak hero itu diberikan bagi menghargai sumbangan beliau terhadap industri hiburan peringkat antarabangsa dan pelancongan di Melaka apabila salah satu babak dalam filem lakonannya, One Two Ka Four dihasilkan di A Famosa Resort, Alor Gajah di sini beberapa tahun lalu.

Sempena kedatangan beliau ke Melaka, Shah Rukh Khan turut dibawa melawat beberapa tempat bersejarah dan menarik di negeri ini antaranya Menara Taming Sari, Victoria Fountain, Eye On Malaysia, Jonker Walk, Kampung Morten dan menyusuri Sungai Melaka menaiki bot Melaka River Cruise.

Sumber : Kosmo

Read More

1,500 rumah di Bukit Antarabangsa akan bergelap malam ini

Leave a Comment

KUALA LUMPUR 6 Dis. - Sebanyak 1,500 buah rumah di Bukit Antarabangsa akan bergelap malam ini kerana kerja-kerja membaik pulih 12 pencawang tidak dapat disiapkan sepenuhnya.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, setakat ini hanya 12 pencawang sahaja dapat dibaik pulih kerana kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak dibenarkan menghampiri pencawang oleh pihak keselamatan.

``Bagaimanapun, kita telah menyediakan janakuasa dan bila pencawang itu boleh dibaiki kita terus sambung bekalan,’’ katanya di lokasi bencana tanah runtuh.

Mengenai bekalan air pula Shaziman berkata, bekalan untuk 2,200 buah rumah telah dipulihkan manakala baki 800 lagi dijangka pulih tengah malam ini.

- Utusan.

Read More

10 Sen Lagi

Leave a Comment
Kerajaan hari ini menurunkan lagi harga petrol dan diesel sebanyak 10 sen seliter berkuat kuasa tengah malam ini bagi membolehkan rakyat menikmati penurunan harga bahan api dunia yang turun secara ketara akhir-akhir ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu kenyataan berkata, petrol RON97 diturunkan daripada RM2 kepada RM1.90 seliter manakala petrol RON92 dan diesel masing-masing daripada RM1.90 kepada RM1.80 seliter.

‘‘Oleh kerana harga minyak dunia telah menurun secara ketara akhir-akhir ini, kerajaan telah membuat keputusan untuk sekali lagi mempercepatkan pengurangan harga runcit bagi membolehkan orang ramai menikmatinya,” kata beliau.

Ini merupakan penurunan harga minyak kali keenam sejak Ogos lalu sejajar dengan penurunan harga bahan api itu di pasaran dunia.

Penurunan harga petrol dan diesel itu dibuat ketika harga minyak mentah di pasaran dunia hari ini berlegar pada kadar AS$47.64 (RM172.93) setong.

Sumber : Utusan

Read More

Banjir

Leave a Comment
Sebagaimana yg kita ketahui pada masa ni kwsn2 tertentu seperti di Kelantan, Terengganu dan lain2 mengalami musim banjir. Semua mangsa banjir yg terlibat mestilah menyelamatkan dokumen2 yg pntg di samping memerhatikan ahli keluarga supaya tidak bermain di kwsn banjir bagi mengelakkan perkara yg tidak diingini berlaku. Semoga banjir yg berlaku akan pulih dgn segera.
Read More