Peniaga Perlu Ada Ilmu

Leave a Comment

KUALA LUMPUR 18 Dis. - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, seseorang peniaga baru boleh berjaya jika memiliki ilmu, usaha dan sikap positif yang dipraktikkan secara bersama.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan ketiga-tiga elemen itu amat penting dalam membawa seseorang peniaga ke arah kejayaan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

"Ilmu yang saya maksudkan bukan ilmu akademik semata-mata. Ada pengusaha yang berjaya, tetapi bersekolah hingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja. Seseorang itu boleh berjaya sebab memiliki ilmu yang sesuai untuk menjadi usahawan.

"Ilmu yang ada boleh mewujudkan peluang kepada seseorang itu," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan Desa di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib.

Katanya lagi, melalui ilmu yang tepat, seseorang usahawan itu akan dapat mewujudkan nilai tambah ke atas sesuatu produk seperti kaedah pembungkusan yang menarik atau perisa baru makanan yang seterusnya boleh meningkatkan permintaan untuk produk berkenaan.

Perkara kedua, kata beliau, usaha yang memerlukan seseorang usahawan itu sentiasa rajin dan memikirkan cara untuk mengembangkan sesuatu perniagaan.

"Seseorang peniaga mahu berjaya, perlu rajin 'luar biasa', kena sentiasa berfikir siang dan malam. Masa mandi pun kena fikir cara untuk menjamin kejayaan," katanya.

Dalam aspek usaha pula, kata beliau, seseorang yang menjadi usahawan berjaya tidak boleh bersikap rajin pada masa-masa yang tertentu sahaja.

Kedua-dua aspek itu, tambah beliau, perlu pula digabungkan dengan sikap positif yang melibatkan unsur penampilan dan jati diri menarik.

"Tampilkan personaliti yang ceria. Kebanyakan perniagaan adalah berorientasikan perkhidmatan, dengan cara ini, ramai yang boleh menjadi pelanggan tetap kita," katanya.

Beliau seterusnya melahirkan keyakinan dengan kemampuan kementerian bertanggungjawab untuk menghasilkan 40,000 usahawan kecil dalam beberapa tahun akan datang.

Terdahulu, Muhammad ketika berucap berkata, pihaknya menyasarkan untuk mewujudkan 40,000 usahawan kecil-kecilan menjelang 2015.

Bagi tujuan itu, katanya lagi, kementerian akan menjelajah ke seluruh negara untuk mewujudkan pengusaha kecil-kecilan.

Sumber : Utusan

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: