Penggunaan Broadband Ditingkat 50%

Leave a Comment

KUALA LUMPUR 16 Dis. – Kerajaan mensasarkan peningkatan sebanyak 50 peratus penggunaan broadband di seluruh negara sebagai usaha membangunkan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan masyarakat luar bandar.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Mansor (gambar) berkata, tumpuan diberi kepada Sarawak kerana jurang ICT antara masyarakat bandar dan luar bandar agak besar.

“Pelaksanaannya akan dibuat melalui kerjasama kementerian, kerajaan negeri dan Suruhanjaya Komunikasi Multi Media (SKMM) dan menjelang tahun 2010, penggunaan broadband berserta komputer riba di kalangan kanak-kanak sekolah rendah di Sarawak dijangka dapat ditingkatkan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Pengenalan Rancangan Pembangunan Pendidikan dan ICT untuk Aktiviti Pembangunan Kapasiti di bawah Program Sarawak Rural Broadband Initiative (SRBI) di sini hari ini.

Beliau berkata, jurang perbezaan pengetahuan digital jelas ketara di antara dua kelompok masyarakat.

Justeru, katanya, di bawah projek berkenaan, bukan sahaja Sarawak dipilih sebagai perintis untuk penubuhan Pusat Komuniti Broadband tetapi juga modal insan berpengetahuan ICT dapat dilahirkan.

Beliau berkata, program tersebut sesuai untuk kanak-kanak berusia antara enam sehingga 12 tahun kerana pada usia itu, mereka harus didedahkan dengan penggunaan komputer riba.

Sehubungan itu, beliau memuji usaha syarikat Danawa Resources Sdn. Bhd., yang dilantik oleh kerajaan negeri untuk merealisasikan program tersebut di sekolah-sekolah di Sarawak.

‘‘Melalui usahasama Danawa dan sebuah lagi syarikat iaitu Sacofa Sdn. Bhd. (Sacofa), peruntukan sebanyak RM20 juta telah dikeluarkan untuk menjayakan projek Satu Komputer Riba Untuk Seorang Kanak-Kanak,’’ jelasnya.

Sumber : Utusan

Share Informasi Ini Dengan Rakan-Rakan

0 comments: